Mohon klik iklan 1X yer

4 December 2012

Anak tidak sah taraf perlu tindakan Majlis Fatwa


Senator Khairiah Mohamad meminta kerajaan khususnya Majlis Fatwa Kebangsaan mengambil serius masalah peningkatan anak tidak sah taraf kerana ia melibatkan akhlak dan moral rakyat negara ini khasnya yang beragama Islam. 

"Bila kita sebut anak tidak sah taraf bermakna ada kaitan dengan di luar perkahwinan," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.
Mengulas jawapan kepada soalan lisannya yang dikemukakan semalam, Khairiah berkata 10 peratus jumlah anak tidak sah taraf untuk tahun 2010 sahaja sudah menunjukkan perlakuan tidak bermoral berlaku dengan serius.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan seramai 52,982 anak tidak sah taraf yang telah didaftar daripada 510,462 kelahiran pada tahun 2010.

Manakala bagi jumlah anak tidak sah taraf mengikut tiga kategori umur yang paling tinggi antara umur 21 hingga 30 tahun seramai 130,775 orang bagi tahun 2008 hingga November 2011.

Dan diikuti umur 16 hingga 20 tahun seramai 67,755 dan umur antara 31 hingga 40 tahun seramai 44,359 anak tidak sah taraf.

Dalam tempoh lima tahun itu, negeri Sabah mencatat jumlah anak tidak sah taraf paling tinggi iaitu 72,939 diikuti Selangor seramai 32,992 dan Sarawak seramai 30,187 orang.

Katanya, bagi orang Islam Majlis Fatwa Kebangsaan telahpun mengeluarkan fatwa berkenaan penamaan anak tidak sah taraf pada tahun 1981, di mana anak dilahirkan lebih dari enam bulan tempoh perkahwinan boleh dibinkan ayahnya.

Tetapi jika kurang dari enam bulan perkahwinan anak tersebut tidak boleh dibinkan bapanya.

Justeru, beliau memohon Majlis Fatwa Kebangsaan melihat kemaslahatan anak-anak tidak sah taraf ini yang semakin hari semakin ramai demi kebaikan dan masa depan mereka.

"Dari sudut Islam sendiri anak yang dilahirkan melalui penzinaan tidak berdosa yang berdosa adalah ibu bapanya. Wajarlah Majlis Fatwa melihat semula fatwa yang telah dikeluarkan agak lama sejak 1981," katanya.

Sementara itu Senator Datuk Dr Johari Mat berkata, anak-anak ini akan mengalami tekanan jiwa apabila mengetahui mereka tidak sah taraf menyebabkan ramai yang tidak bersekolah akhirnya mereka tercicir.

Tegasnya, anak itu boleh dibinkan bapanya walaupun tidak cukup enam bulan selama mana ayahnya tidak menafikan anak berkenaan.

Malah beliau percaya jika Majlis Fatwa berbuat demikian secara tidak langsung boleh mengurangkan atau mengelakkan gejala pembuangan bayi.

"Kita perlu lihat mengapa kes buang bayi semakin berleluasa antara sebabnya anak yang dilahirkan tidak boleh dibinkan bapanya.

"Yang perlu ditangani adalah anak yang menjadi mangsa, ibu bapa boleh bertaubat," katanya.

-Harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.