Bahagian Pertama
segala lendir-lendir nanah masih pekat melimpah.
Dan petang yang datang dijangka membawa harum harapan
selalu petang yang sudah kehilangan senyumannya.
Bertundalah kekalahan dalam kehidupan manusia
tapi kita mesti pantang berpaling dari dikarami kecewa.”
— petikan dari puisi bertajuk Hitam oleh Sasterawan Negara A Samad
Said, yang ditulis beliau pada tahun 1956 ketika Persekutuan Tanah
Melayu sedang hangat dalam gelora menuntut kemerdekaan.
A Samad Said atau Abdul Samad bin Muhamed Said tidak dapat tidak
merupakan sosok penting dalam kesusasteraan Melayu moden, malah beliau
yang dilahirkan pada 9 April 1935 ini juga kritis dan lantang bermadah
mengalunkan puisinya bagi menegakkan apa yang dilihat beliau sebagai
kebobrokan, kehodohan institusi politik. Mengikut resmi padi, makin berisi makin menunduk, tetapi buat
Sasterawan Negara ini, beliau memilih untuk tidak seperti padi. Ini
jelas ditonjolkan beliau dengan kerap turun ke jalan raya memimpin dan
bersama rakyat menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap sistem perjalanan
politik negara yang kian meruncing ini.
Tidak hairan, kian lama, walau usianya makin tua, beliau dilantik pula sebagai Pengerusi Bersama Bersih.
Baru-baru ini, wartawan Roketkini Mazir Ibrahim dan Amaluddin
Zhafir bersama jurugambar Wira Andika berkesempatan berkenalan dengan
lebih dekat dengan beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad.
Dari jalur seni, sejarah sehinggalah kepada isu politik tanah air,
beliau melampirkan buah fikiran beliau dengan penuh lemah lembut (namun
berisi dan padat katanya), sebagai Sasterawan Negara, sebagai pelukis,
sebagai pemerhati masyarakat, dan sebagai perakam kisah buat generasi
akan datang.
Dipersilakan membaca wawancara bersama Pak Samad yang boleh dianggap sebagai ‘the living legend’ ini.
Sedikit latar belakang Pak Samad yang jarang-jarang diketahui umum.
Ramai orang tak tahu saya seorang anak yang gagap, susah untuk
bercakap. Oleh kerana itu menjadikan saya anak yang suka menyendiri.
Jadi kerana itu juga minat saya tertumpu untuk membaca. Kebetulan saya mempunyai guru-guru yang baik di sekolah, dari
pelbagai bangsa. Mereka ini sangat simpatik kepada saya, bukan sahaja
kerana kehidupan saya, tetapi juga kerana minat saya. Minat membaca itu
kerana saya tidak berinterasi dengan orang kerana gagapnya, oleh itu
masa kecilnya tertumpu kepada membaca.
Yang lain, yang jarang diketahui barangkali minat saya dalam lukisan.
Itu amat tidak diketahui orang. Tapi ada diusahakan untuk dipamerkan
lukisan saya dan untuk dijualkan.
Itu sesuatu yang tidak menonjol… Tapi sebenarnya isi daripada lukisan
itu agak selari dengan sikap saya, pendirian saya tentang hal-hal yang
tertentu. Lukisan-lukisan itu biasanya berbentuk hitam-putih tetapi
berisikan puisi-puisi tertentu. Dan sejauh ini saya ada sebanyak 100
lukisan yang saya punya sendiri.
Di samping lukisan saya sendiri, saya juga membeli lukisan orang.
Saya juga mempunyai lukisan dari teman-teman yang boleh dikatakan
sekarang ini sedang menyuburkan dunia lukisan sekarang. Dan saya ada
beberapa lukisan yang mewakili hasil cipta teman-teman itu. Ada
kira-kira dalam 60, 70 lukisan, serendah RM500 dan setinggi RM18,000.
Seniman generasi sekarang yang Pak Samad ikuti, dan pandangan Pak Samad mengenai subjek yang ditimbulkan generasi kini?
Ya, memang sekarang ini saya berlegar saja dengan teman artis muda.
Minat saya adalah untuk memahami, apa yang menjadi subjek mereka ke
dalam lukisannya. Maksudnya, apakah yang ingin diluahkan? Sesuatu yang
sama ada digemarinya, atau sesuatu yang dibencinya. Jadi lukisan-lukisan itu memberi saya peluang untuk memahami isi hati
dan perjuangan angkatan muda. Kalau dari segi lukisan memang terbayang
keresahan, ertinya lukisan itu membayangkan keretakan-keretakan yang
sedang berlaku dalam dunia siasah kita sekarang. Itu antaranya dapat
ditangkap dalam lukisan seperti Rahmat Haron…Itu memang jelas.
Bagaimana Pak Samad melihat karya generasi kini dalam konteks demografi sosio-politik?
Apa yang berlaku sekarang adalah kerlipan-kerlipan rakaman tentang
keresahan kelompok muda terhadap pergolakan yang sedang berlaku sekarang
dalam dunia siasah. Dan nampaknya, memang sudah muncul beberapa bekalan
intelektual yang bersedia untuk bersoal jawab. Malah besedia juga untuk
mengadakan tindakan-tindakan demonstran yang menguji.
Dan saya tidak mengatakan bahawasanya mereka ini langsung saja masuk
ke dalam dunia gelora demonstran itu secara mereka tidak faham. Dan saya
kira apa yang sedang berlaku sekarang ini dan beberapa mahasiswa yang
berlawan untuk memansuhkan AUKU itu, itu adalah bibit-bibit yang harus
diperhatikan.
Memang benar bahawasanya jumlah itu sekarang ini agak kecil, tapi
jangan terperanjatlah kalau gelombang ini akan berkembang, dirangsang
oleh gelombang-gelombang reaksi dunia dikalangan orang-orang muda. Sebab
dunia siasah sudah terlalu lama sangat dikendalikan oleh orang tua yang
sudah kehilangan idealisme, kehilangan cita-cita. Tidak lagi mereka
berpeluang untuk berjuang untuk mengasaskan satu idealisme atau landasan
perjuangan demi kebajikan kebangsaan.
Perbezaan antara Asas 50 dan signifikannya dengan zaman sekarang?
Secara mudah Asas 50 (Angkatan Sasterawan 1950) mempercayai
bahawasanya masyarakat harus dibela dan pembelaan itu harus dilakukan
melalui medium sastera. Tapi oleh kerana tahun itu, tahun menentang
penjajahan, jadi seni itu juga dirasakan wajib dimanfaatkan untuk
menyanggah penjajahan. Di samping cita-cita yang nampak sampingan, tapi masih, Asas 50 ialah
perjuangan untuk mengkayakan bahasa. Sebuah bangsa yang mula merdeka
dan mengkhayalkan bahasa itu akan menjadi bahasa yang meluas.
Sebab itu pandangan Asas 50 atau pun contoh-contoh yang diambilnya
daripada Angkatan 45 di Indonesia sebab kita tidak memandang Bahasa
Melayu itu sebagai bahasa untuk 20 juta orang, kalau sekarang
misalannya, tetapi bahasa untuk 300 juta orang di dalam wilayah
Nusantara. Oleh kerana orang-orang Asas 50 yang asas sudah tidak ada, jadi
perjuangan itu tidaklah seghairah dulu. Jadi angkatan-angkatan baru
tidak terikat oleh Asas 50 walau pun mereka tahu tentang Asas 50 dan
mereka tunduk daripada iklim yang sama sekali lain.
Yang tinggal, saya fikir, ialah kesedaran bahawasanya seni itu adalah
alat untuk memperjuangkan keadilan untuk masyarakat. Digambarkan secara
kepincangan secara jujur dan merangsang atau mengharapkan daripanya itu
disedari bahawasanya masyarakat kita masih bobrok, sedang bobrok dan
tidak harus dibiarkan itu bobrok.
***
Kotornya Hanyir di Bumi Ini
Terhenyak senak rasa di dada melihat manusia gila
lupa jalan jernih menuju Tuhan yang Maha Pengasih.
Liar ketawa mereka – api darah terhambur merah
sedia membakar bersih sesama manusia tertindih.
Dadanya tiada luka – kemanusiaan tiada terpelihara,
sesama yang bernafas masih sebegitu ganas.
Patahlah tangan-tangan menantikan kebahagiaan yang berpanjangan
masih belum berlabuh di teluk bahagia yang terlalu jauh!
Kecemasan berlaku di antara menara harapan yang palsu,
manusia segera membahagi keadilan sama rata
terlantar pun insan sepi, yang menghenyakkan insan sendiri
mana hati budi yang sepatutnya terpelihara wangi!
Hanyutkan kotoran hanyir dari bumi sebusuk ini
baharulah tanah makmur dengan keadilan mengembang subur!
Utusan Zaman
11 Mac 1956
***
Maka, atas semangat itu, Pak Samad menyertai gerakan awam?
Saya tidak mahu memandangnya dari sisi itu. Saya memandang
bahawasanya kesusasteraan tugasnya adalah merakamkan. Ertinya apa yang
sedang berlaku, apa yang sudah berlaku atau pun apa yang dikhayalkan
akan berlaku. Cuma oleh kerana saya seorang penulis, makanya saya harus
merasakan, ya, saya harus merakam sahaja. Hasil cipta ini ialah gunanya
untuk di baca. Tapi saya merasakan kegeloraan siasah di tanah air itu sudah begitu
boleh dikatakan agak memuncak, makanya saya sendiri, dan saya tidak
mewakili sasterawan-sasterawan lain, saya sendiri bergaul di
tengah-tengah kelompok yang berjuang untuk mendapatkan satu dunia yang
adil, saksama, satu dunia yang tidak perkauman.
Dan saya merasakan sudah tidak lagi cukup seorang sasterawan itu
hanya menulis. Kalau dia menulis, dia harus menunggu orang untuk membaca
dan pembaca memang sedikit sebenarnya oleh kerana minat pembacaan itu
telah diganggu dengan minat-minat yang lain. Dan kerana itu, dan saya mengambil masa yang lama sebenarnya untuk
turun ke tengah masyarakat yang bergelora dari sisi itu. Boleh dikatakan
hanya tahun sudah, tahun sudah usia saya 75 tahun, tapi tidak bererti
saya tidak melihat segala apa yang berlaku selama ini.
Tetapi, terakhir, memandangkan tidak cukup saya fikir bahawasanya
sastera tidak dapat membibitkan, mencetuskan gelora untuk turut
memungkinkan kelahiran sebuah masyarakat yang tidak tercapai oleh kita
sesudah setengah abad. Dan itu sebenarnya membuat saya berfikir, “mengapa tidak?” Kalau ada
unsur-unsur yang baik yang saya bleh menyertai, mengapa tidak?
Dan saya sendiri pun tidak tersangka sebenarnya bahawasanya saya
diterima begitu sahaja, dan diterima baik, sebaik kalau diikuti
betul-betul, perjuangan saya yang pertama, yang terpaksa saya berada di
tengah jalan raya ialah memperjuangkan bahasa saya, menghentam PPSM dan
yang kedua itu Bersih. Dan itu bukan kehendak saya sahaja, penerimaan
daripada masyarakat bahawasanya saya wajar berada di tengahnya.
Bagaimana keterlibatan golongan seni dapat membantu menggerakkan masyarakat?
Secara mendadak, tidak. Tetapi secara meresap, ia menjadi.
Pertumbuhan buku-buku dalam bahasa Melayu misalannya, itu sahaja
gambaran bahawa bahasa itu sedang berkembang. Mungkin ia tidak begitu
berkembang di sekolah oleh kerana keyakinan pihak kerajaan bahawasanya
bahasa inggeris itu harus diutamakan untuk mengejar kehidupan duniawi,
mungkin.
Tapi kalau anda tengok perkembangan-perkembangan bahasa walau pun
tidak sepenuhnya bermutu, perkembangan itu agak berselerak sekarang. Dan
bila saya katakan perkembangan bahasa itu, tidak mesti penggunaan bahsa
sahaja, tetapi dia masuk ke dalam dunia filem juga.
Berapa banyak hasil cipta dalam bahasa Melayu yang tersebar di
televisyen? Terakhir ini, bagaimana sebuah novel yang tidak
tersangkakan, Ombak Rindu, menjadi begitu dinematik. Itu adalah
contoh-contoh bayangan bagaimana dunia seni menjalar dan masuk ke dalam
hati orang ramai.
Jadi saya fikir walau pun tidak dipandang murni atau tidak dipandang
menguntungkan dari sisi duniawi oleh sekelompok orang yang memerintah,
tetapi saya fikir kesedaran itu sedang berkembang. Dan saya lihat anak-anak muda dalam LRT duduk membaca novel
misalannya. Tidak sahaja minat membaca itu tumbuh, tetapi minat membaca
buku Melayu itu sudah berkembang. Itu amat menyenangkan hati saya.
Bersambung…
Bahagian kedua: Perjuangan politik, kebebasan, hak asasi, demonstrasi…
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.