Seniman muda dilihat lebih terjurus kepada menerbitkan karya mereka sendiri. Bagaimana Pak Samad melihat fenomena ini?
Kelompok muda ini saya fikir, memang ramai berusaha menerbitkan
bukunya sendiri, dan kadang-kadang menerbitkan secara agak terdesak oleh
kerana tuntutan masa. Ambil misalan antologi Puisi Jadi Senjata
(kumpulan puisi dedikasi kepada Bersih 2.0), itu boleh dikatakan secara
mendadak tumbuh daripada (Editor Suara Keadilan) Fazallah Pit.
Dia yang mengumpulkan anak-anak menulis puisi dan dia datang kepada
saya, dia kata, “Pak, ini sesuai dengan iklim sekarang ini yang sedang
berlaku.” Makanya, dia hendak saya tulis prakata, dan saya tulis itu jam
juga. Antologi puisi itu memang laku bila ada acara-acara kecil-kecilan
di sana sini. Tetapi secara menyeluruh, ia belum lagi diterima. Tetapi
permulaan itu sesuatu yang amat bagus.
Dari segi demografi sosio budaya dan sosio politknya dalam
dunia demokrasi, tidak dapat dinafikan yang muzik, filem, penulisan
sastera, lukisan yang bergerak secara mandiri juga banyak membantu.
Saya fikir, demokrasi mempunyai jalan-jalannya sendiri. Ada jalan
besar, ada jalan kecil, ada harus melalui denai, ada melalui sungai.
Semua itu, asalkan cita-citanya ialah untuk menunjukkan keadaan sebenar
yang berlaku yang tidak diterima lagi oleh orang dahulu dan harus
dibantah dan itu saya fikir sebanyak-banyaknya ia harus bagus.
Ia boleh untuk menyeluruh, tidak harus sahaja penulis itu datangnya
bila dia berkumpul di Kuala Lumpur. Dia boleh bermula di Johor baru,
Perlis, di Pahang, di mana-mana. Semua bibit-bibit itu akan nantinya
menunjukkan ke arah yang sama. bahawasanya keadaan sosial sekarang ini
dan jentera siasah waktu ini dan cengkaman waktu ini yang tidak adil di
waktu ini harus dibantah. Sudah tentu sahaja bantahan itu secara kecil-kecilan tidak ternampak
impaknya, tetapi akan tiba satu waktu di mana mereka ini akan bersatu
berkumpul untuk menyatakan bantahan yang lebih berdasar.
Ruang-ruang yang telah dihasilkan oleh perubahan demokrasi.
Kalau kita neutral dalam beberapa isu, kita digambar memihak kepada
Pakatan Rakyat. Bersih, bukan memihak kepada Pakatan atau Barisan
Nasional, tetapi bagaimana nak tonjolkan bahawa Bersih ini gerakan
rakyat, bukan parti politik?
Kita tidak dapat menjernihkan pandangan sekelompok yang sudah
berkuasa, UMNO, Barisan Nasional contohnya. Tentu sahaja apa yang sedang
berlegar mengarah kepada menggigit kuasanya, dia akan memberikan
penentangan, dia tidak menerima. Itu sebab kelompok-kelompok dalam dunia
penulisan.
Sudah ada, anda tahu baru-baru ini kerajaan memberi RM5 juta kepada
PENA (Persatuan Penulis Nasional) misalnya. Itu bererti sudah ada
kesedaran bahawasanya persatuan penulis itu boleh menggegarkan. Tetapi
oleh kerana kerajaan yang memberi duit kepada PENA, maka tentunya PENA
merasakan terhutang budi, dan giginya tidak terjaga. Kadang-kadang sifat
kita… Kerana orang memberi, kita menjadi tidak manis untuk menggigit
tangan yang memberi.
Adakah ini sememangnya dilema kelompok masyarakat Malaysia?
Memang, ada dah lama. Saya tak runsing soal itu. Kadang-kadang ada
seorang dua orang penulis yang berbakat yang bersikap yang berwibawa
yang jujur boleh menggegarkan. Kita tidak perlu 500 orang penulis.
Seorang pun boleh sebenarnya kalau suaranya itu suara hati nurani, suara
yang jujur, suara yang bersih suara yang membina, tentu ada sanggahan
tetapi itu tidak menjadi satu soal.
Bagaimana Pak Samad melihat campur tangan kerajaan dalam kes pemberian RM5 juta kepada PENA?
Bergantung kepada kebijaksanaan orang yang menerima wang itu.
tentunya, ini andaian saya, kalau ada sesuatu tindakan bahasa, atau
gerakan seni dan budaya, orang yang menerima tentunya berfikirlah atau
pun dia jujur menyatakan atau dia diam sahaja. Itu bahayanya saya fikir.
Dalam ruang-ruang yang dianggap sebagai kelompok-kelompok
yang memperjuangkan suara awam, seniman, karyawan dan sebagainya, perlu
bertindak neutral. Tetapi ada masanya kita gigit, ada masa kita tak
gigit. Bagaimana nak wujudkan suasana begitu?
Itu terpulang kepada pemimpin-pemimpin itu. Mesti ada sikap, ada
pegangannya… Dan kalau pemimpin itu autokratik, memang dia boleh
mendiamkan orang-orang yang di bawahnya yang menggunakan kuasa
autokratik menyuarakan sikapnya, tapi yang membawa sikap organisasinya
juga. Tapi setakat ini saya lihat ada satu dua insiden. Saya tangkap,
PENA berhati-hati. Bila kita berhati-hati, bererti sebelah kaki kita
sudah tidak sama.
Ini yang sedang dihadapilah. Tetapi akhirnya, bergantung kepada
kekuatan individu itu sendiri. Sebuah institusi sebenarnya adalah
pancaran individu itu sendiri, tetapi kadang-kadang seorang individu
tidak perlu sertai institusi untuk mejadi diri sendiri. dia sendiri
tetapi dia juga institusi. Orang seperti itu saya fikir memang
sedikitlah, untuk dapat melakukan pengimbangan kuasa, apa lagi kuasa
yang terlalu kasar.
***
Unggun Bersih
Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.
Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!
Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.
Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.
24-25 Jun 2011
***
Mungkin awalnya dengan ucapan terima kasih, tetapi diakhirnya, korup… Bagaimana jika begitu terjadi?
Memang sukar kita mendapat seorang watak luhur. Watak luhur ini kan
dibangunkan oleh lingkungannya, oleh keluarganya, interaksinya dengan
orang-orang tertentu?
Tampak beberapa contoh di mana orang yang tak tersangka misalannya
masuk dalam politik tidak sampai dua tiga bulan dapat upahan yang bagus,
terus saja melompat. Seperti yang sedang berlaku kekacauan sekarang
antara (Datuk Dr) Hasan Ali (yang dipecat PAS) menubuhkan Jati, Ibrahim
Ali dengan dia punya Perkasa. Di tengah-tengah masyarakat Melayu itu terbelah. Apabila fikiran kita
tidak diterima, kita keluar kita tubuhkan parti yang lebih kecil dan
menyangka parti kecil itu akan mengatasi parti yang kita tinggalkan. Ini
ada beberapa sudut yang boleh dipandang. Berguna kepada orang itu,
tetapi tidak berguna atau pun bahaya kepada institusi yang
ditinggalkannya.
Yang terbaru, Hasan Ali berkata kalau DAP naik, DAP akan bergabung
dengan Singapura lah, nak jadi republiklah. Semua itu mainan agama,
mainan kaum. Apabila orang main agama, main kaum, bererti jalan siasah
itu memang sudah resah di sana sini. Kuasa di tangan orang Melayu, mengapa kita perlu katakan orang Melayu
itu dalam bahaya? Semua Perdana Menteri Melayu, Raja dan Sultan semua
Melayu, Menteri Besar semua Melayu… Mengapa kita nak waraskan yang
Melayu dalam bahaya?
Kecuali orang Melayu yang memerintah itu yang bobrok. Memungkinkan
sesuatu mulai rosak di bawahnya. Tidak terjaga ekuiti Melayu dengan
betul, tidak terjaga bahasa Melayu dengan betul, tidak memantapkan
universiti, sekolah Melayu…Tapi lepas itu mereka kata, kita dalam
bahaya. Dan tentunya musuh mereka (UMNO-BN) yang utama, DAP lah. Oleh
kerana kebetulan sahaja DAP melalui sejarah dari PAP. Tapi kan sudah 54 tahun (merdeka). Dan contoh baik dari
pemimpin-pemimpin Singapura harus kita hormati, boleh dikata sedikit
sangat yang rasuah. Itu jenis pemimpin yang kita mahu di sini. Contoh
bagaimana sebuah pulau kecil yang tidak punya hasil bumi yang boleh
diniagakan, boleh menjadi sebuah negara yang menjalankan perniagaan
perkhidmatan yang sangat bagus.
Itu harus ditiru. Kita harus meniru, harus meneladani
pemimpin-pemimpin di Singapura, bagaimana mereka menjalankan
pemerintahannya, bagaimana mereka memperhimpunkan hartanya, bagaimana
memperkembangkan interprenuarnya dan bagaimana suaranya. Ambil contoh (bekas Perdana Menteri Singapura) Lee Kuan Yew. Beliau
cuma bercakap tentang lunas-lunas yang penting sahaja. Tidak seperti
(Tun Dr) Mahathir (Mohamad), semua perkara beliau nak cakap…Masih
bergantung dengan Ibrahim Ali dan Perkasa. Malah tidak mustahil suatu
hari nanti akan bergantung dengan Jati (NGO yang ditubuhkan oleh Hasan
Ali).
Kita harus sebagai pemimpin yang diseganilah. Bukan Najib ada di situ, dia ada di situ, Najib cakap ini, dia pun cakap ini. You ganggu satu kemungkinan. Jadi itu pun dalam susunan hirarki siasah diperhatikan.
Pandangan Pak Samad sebagai pemerhati, penulis, malah mungkin
boleh memberi sedikit kritikan mengenai DAP terutamanya Melayu yang
menyertai DAP umpama semut hurung gula?
Saya fikir DAP sedang melakukan sesuatu. Itu yang betul, ertinya
membuktikan bahawa parti itu bukan parti Cina, tetapi dengan mendapatkan
beberapa watak Melayu yang boleh dipercayai, ini yang susah, yang boleh
dipercaya untuk turut membantu membangunkan sebuah parti yang
kebangsaan. Ini adalah ujian awal. Dan ujian itu sangat bagus di waktu ini. Waktu
inilah yang terbaik bagi DAP untuk menyerlahkan diri sebagai parti yang
kebangsaan. DAP ini mempunyai pemimpin-pemimpin yang dipercayai.
Pemimpin-pemimpin yang sejauh ini tidak rasuah, ini membangunkan sebuah
masyarakat Malaysia.
Jadi harapan kita akan ada, watak-watak Melayu yang boleh berikan
sumbangan yang jujur kepada DAP di samping DAP pun harus menilai
watak-watak yang diterimanya itu. Sebab kalau tidak nanti, orang
sediakan RM2 juta, lompat pula. Tapi bagus, sudah ada keberanian orang Melayu sertai DAP adalah
bagus. Dan dia harus belajarlah menerima hukum hakam dalam DAP itu. Jika
tidak macam begitu, itu amat susah.
Kerajaan menyerang DAP, tapi penyerangan itu tidak bererti sebab DAP
belum berkuasa. Dan oposisi belum pernah berkuasa, kecuali beberapa
negeri yang dikuasai oposisi ekonominya munasabah, hutangnya sudah
berkurangan dan pemimpin-pemimpinnya tidak rasuah.
Itu yang nak disuburkan. Malangnya semua media utama di tangan
kerajaan, tapi tidak bererti media alternatif tidak ada gigi, biasanya
media utama reaksi apa yang berlaku dalam media alternatif. sudah timbul
dalam media alternatif, media utama akan balas, jadi memang ertinya
media alternatif berkesan.
Terbaru, Pak Samad dilantik sebagai Pengerusi Bersama Bersih.
Dan seandainya lapan tuntutan Bersih tidak dilaksanakan selepas PSC
tamat bermesyuarat, bagaimana Bersih akan bereaksi?
Demonstrasi. Ya, Kita akan turun ke jalan raya berdemonstrasi.
– Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.