Dalam panas terik petang ini, lebih 5,000 hadirin yang majoritinya kaum Cina memenuhi Stadium Sultan Abdul Halim di Alor Setar bagi mendengar ceramah raksasa 'Super Friday' - kempen besar terakhir Pakatan di Kedah sebelum pilihan raya Ahad ini.
Kehadiran ramai kaum Tiong Hua dalam majlis anjuran DAP itu memecah 'kesunyian' mereka yang sebelum ini tidak menyatakan sokongan dengan terbuka dalam pilihan raya umum ke-13 kali ini.
Walaupun tanpa kehadiran Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi masalah pengangkutan dan kesesakan jalan raya, perhimpunan itu tetap menaikkan semangat penyokong Pakatan dengan ucapan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
Dalam riuh vuvuzela, Lim berucap menegaskan janji Pakatan, antaranya akan menghapuskan tol Lebuh Raya Utara-Selatan dengan segera - seminggu selepas pilihan raya.
"Kamu mahu tunggu ka? Mahu sokong BN? Saya tidak boleh tunggu, atau mungkin tak ada lagi. Kamu mahu tunggu?.
"Kalau 5 Mei ini, kamu pilih Pakatan Rakyat, minggu depan lebuh raya percuma... Mari kita undi beramai-ramai, tumbangkan BN, baru kita selamat ," kata Lim sambil diiringi tepukan dan laungan "Ubah".
'ABCD -Asalkan Bukan Calon Dacing'
Katanya, tol itu tidak perlu dipertahankan lagi kerana syarikat konsesi didakwanya telah pun untung banyak dan perjanjian konsesi juga dibuat sehingga 2038.
Sementara itu, menyentuh isu 13 Mei yang dimainkan dengan kemaraan DAP, Lim menjelaskan bawah kepimpinan pemimpin utama Pakatan, termasuk Penasihat DAP Karpal Singh, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang peristiwa itu tidak akan berulang.
"Kalau Mat Sabu, Nik Aziz, Datuk Seri Hadi, Karpal Singh atau Datuk Seri Anwar Ibrahim (menang), kamu ingat kita mahu gaduh? Tak ada. Kita nak sama-sama masuk Putrajaya. Betul tak," katanya sambil disambut laungan "betul" oleh hadirin.
Sementara itu, Mohamad - 'ayam sabung' PAS - pula berkata hari ini sekali lagi mengulangi keyakinan mereka untuk menawan Putrajaya.
Beliau juga memperkenal slogan baru kepada penonton sebagai 'panduan' mengundi pada hari minggu ini ala slogan Asal Bukan Umno (ABU) yang popular sebelum ini.
"ABCD -Asalkan Bukan Calon Dacing," katanya yang terkenal dengan kelucuan ketika berceramah itu.
Calon-calon Pakatan di kawasan berdekatan turut hadir ke program itu, termasuk Gooi Hsiao Loong (PKR-Alor Setar), Mohd Eekmal Ahmad (PKR-Bakar Bata), Tan Kok Yew (DAP-Derga ) dan Teoh Boon Kok (DAP-Kota Darul Aman).
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.