Mohon klik iklan 1X yer

9 September 2012

Lawak katun punya berita

WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hilang sabar dengan duta Amerika Syarikat bulan lepas kerana kedudukan pentadbiran Obama yang kurang jelas ke atas program nuklear Iran, ujar seorang kongres AS yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut. 

Pengerusi House Intelligence Committee, Mike Rogers, penyokong parti Republikan, membuat komen awam pertama beliau mengenai mesyuarat di Israel hujung Ogos lalu dalam satu temu bual dengan radio WJR, yang berpusat di Michigan Selasa lalu.

Kontroversi yang berterusan berkenaan mesyuarat itu muncul ketika Presiden AS, Barack Obama menerima pencalonan partinya di Konvensyen Demokratik Kebangsaan, di mana tahap sokongan pentadbiran Obama untuk Israel menjadi satu topik kontroversi.

"Sekarang ini Israel tidak percaya pentadbiran Obama adalah serius apabila mereka membentangkan pilihan-pilihan yang ada, dan lebih penting, Iran pun tidak percayakan AS. Itulah sebabnya program (nuklear) ini terus berjalan," kata Rogers.

Israel menghadapi tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk  tidak menyerang infrastruktur nuklear Iran secara unilateral dan Amerika Syarikat secara jelas menentang idea serangan itu.

Rogers berkata, jika Amerika Syarikat tidak menunjukkan kepada Israel kedudukan yang lebih jelas ke atas program nuklear Iran, maka Israel mungkin akan melancarkan serangan.

"Jika saya pertaruhkan rumah saya hari ini, saya akan bertaruh bahawa mereka akan menyerang Iran jika tidak mengetahui kedudukan yang lebih jelas dari Amerika Syarikat," katanya.

Jurucakap kedutaan Israel di Washington bagaimanapun enggan mengulas hal tersebut. Jabatan Negara tidak mengulas berkenaan mesyuarat sulit diplomatik tetapi jurucakap Edgar Vasquez berkata, "Kami mempunyai hubungan yang sangat rapat dan komitmen yang tidak mampu digugat dengan Israel."

Pertengkaran antara Netanyahu dan Duta AS ke Israel, Daniel Shapiro mengesahkan jurang perbezaan yang mendalam tentang bagaimana cara berurusan dengan Iran, yang kedua-dua sekutu itu cuba untuk menafikannya kepada orang ramai.

Obama berikrar untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear, tetapi masih yakin isu ini dapat diselesaikan dengan sekatan ekonomi dan diplomasi. Rumah Putih berkata mereka telah menjalankan sekatan minyak dan perbankan antarabangsa yang jauh lebih tegas terhadap Iran berbanding dengan pentadbiran AS sebelum ini.

Tujuan asal mesyuarat tersebut adalah untuk Netanyahu dan Shapiro  membincangkan kerjasama perisikan dan perkara-perkara lain. Tetapi ia "bertukar" menjadi pertengkaran sengit apabila Netanyahu memberitahu Shapiro kekecewaannya  tentang kedudukan pentadbiran Obama yang kurang jelas ke atas program nuklear Iran, ujar Rogers.

"Ketidakpastian tentang kedudukan Amerika Syarikat dalam isu-isu tersebut telah mencipta banyak masalah dan kebimbangan yang saya fikir tidak bagus untuk dunia dan keamanan," kata Rogers.

Dalam temu bual dengan stesen televisyen Israel Ahad lalu, Shapiro menolak dakwaan akhbar Israel berkenaan pertengkaran itu dan menggelarnya sebagai "cerita yang sangat bodoh" dan tidak mencerminkan apa yang sebenarnya berlaku dalam mesyuarat, di mana perbualan berlaku dengan "mesra dan profesional. "

Netanyahu tidak mengulas tentang pertengkaran itu, yang pertama kali dilaporkan oleh akhbar harian Yedioth Ahronoth.

Israel mempunyai senjata nuklear sendiri yang tidak diisytiharkan dan dipercayai mengandungi sebanyak 200 kepala peledak.

Rogers berkata garis masa Israel dan AS berbeza dalam menentukan berapa cepat Iran mampu memperoleh senjata nuklear, jika Iran memutuskan untuk bergerak ke arah itu.

Netanyahu percaya "jika mereka memutuskan untuk mencepatkan program, Iran akan mengambil masa empat hingga lapan minggu," manakala penganalisis perisikan AS pula percaya ia akan "mengambil masa yang lama sedikit daripada itu," kata Rogers. "Tetapi masalahnya tiada siapa yang benar-benar tahu."


-harakahdaily
 

No comments:

Post a Comment

Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.