Oleh Hafiz Zainuddin
Malaysia dibangunkan hasil dari persepsi yang kabur dan negatif. Dari
ketakutan yang dicerna, dari aspirasi palsu yang disengajakan. Semua
ini demi survival parti yang memerintah.
Lihat bagaimana kita, ibu bapa, isteri suami, anak-anak, teman dan
taulan mungkin pernah dipisahkan untuk bersama dengan kaum lain di
kawasan perumahan, di sekolah, di tempat kerja, di universiti tempatan
akibat rasa terancam dan penelitian yang buruk sangka.
Kita harus ingat bagaimana suara-suara demokrasi dibungkam dengan
pelbagai akta zalim. Para aktivis dan pejuang disumbat ke penjara serta
ditohmah sebagai pengkhianat negara dan ejen asing. Semua itu bohong
tapi sehingga kini masih terus kedengaran.
Kerajaan UMNO-Barisan Nasional mencipta persepsi dan ada kalangan
rakyat yang percaya telah khayal dengan dongeng mereka melalui media
arus perdana. Ia disebarkan pula dengan sembang kedai kopi, gosip
pejabat dan sikap segolongan penguasa yang tidak selesa untuk bersama
dengan kaum-kaum lain.
Semua persepsi negatif ini telah membuahkan rasa takut, terancam, bebal, sedih, marah tanpa perlu berlandas pada kebenaran.
Oposisi digelar ‘syaitan’
Saya masih ingat lagi komedi bersiri RTM Hikayat Hang Setia awal
tahun 1990-an. Saya masih kecil dan ini siri kesukaan saya. Sehingga
sekarang lagu temanya masih tersemat dihati. Antara lain ia berbunyi “Hantu
jembalang aaaa, banyak berkeliaran, dia cuba menghasut, perpaduan
rakyat, rupanya macam manusia, perangai macam syaitan…dalam hikayaaaat
haaang seeetiaaaa….!”
Saya tidak faham apa maksud lirik tersebut sehinggalah mendapat
pencerahan dua puluh tahun kemudian. Saya bersyukur saya masih
mengingatinya. Sitkom bersiri terbitan RTM ini berlatarbelakangkan
masyarakat pelbagai kaum yang cuba mencipta persepsi yang kalau tidak
salah saya bermesejkan: “Hey oposisi, kau jangan ganggu rakyat!”
Penerbitan sitcom ini boleh dikaitkan dengan penubuhan parti
Semangat 46 oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang kemudiannya bergabung
dengan PAS, BERJASA, HAMIM dan KIMMA untuk membentuk Angkatan Perpaduan
UMMAH serta Gagasan Rakyat bersama DAP dan PBS untuk pilihan raya umum
tahun 1990.
Makanya, sitcom Hang Setia terbitan RTM ini cuba
menggambarkan kepada rakyat bahawa gabungan oposisi sebagai ‘syaitan’,
jahat, penghasut dan sebagainya.
Di sebalik persepsi terhadap DAP
Sebab ikon DAP bernama Lim Kit Siang, orang yang tidak kisah mengenai
wabak rasuah yang membusuk di negara ini, orang yang tidak peduli pada
masalah jenayah yang menghampiri klimaks, orang yang tidak ambil tahu
perihal politik dan kezaliman yang berlaku, bila ditanya pendapat mereka
mengenai DAP, mereka berkata bahawa DAP itu anti-Melayu dan anti-Islam.
Bagi golongan ini, mereka beranggapan sedemikian bukan kerana DAP itu
parti pelbagai kaum, bukan kerana DAP parti yang sah di sisi
undang-undang dan bukan kerana DAP akur kepada Perlembagaan Persekutuan.
Mereka berkata DAP anti-Melayu, anti-Islam semata-mata kerana melihat wajah-wajah pemimpin dari kalangan orang Cina.
Ini semua pandangan stereotaip, kata pensyarah Universiti Islam
Antarabangsa (UIA) Dr. Maszlee Malik. Ia yang wujud semata-mata akibat
persepsi yang disuap setiap hari oleh Utusan Malaysia dan TV3.
Kalau begitulah kiranya percaturan pada akal budi kita, bagaimana
pula dengan Lim Guan Eng yang dipenjarakan akibat membela seorang gadis
Melayu dan keluarganya di Melaka suatu masa dahulu? Bukankah gadis itu
dikatakan menjadi mangsa kerakusan seorang pemimpin Melayu?
Ini kerana persepsi tidak perlu mempunyai bentuk dan struktur seperti
fakta. Persepsi lebih mudah dicerna dan dihadam. Ia mudah ditelan
begitu sahaja sama seperti kisah tragedi 13 Mei 1969 yang meletakkan
negara dalam darurat.
Masih ramai orang Melayu percaya bulat-bulat cerita ‘Cina nak halau
Melayu’ tanpa baca terlebih dulu catatan Tunku Abdul Rahman yang menjadi
saksi sewaktu almarhum sebagai Perdana Menteri ketika itu. Pun ramai
yang percaya Lim Kit Siang terlibat walau beliau berada jauh di Sabah
sewaktu kejadian berlaku. Malah, hari ini, ada manusia kurang cerdik
yang mahu melibatkan Lim Guan Eng, yang berusia 8 tahun pada 1969,
semata-mata kerana mahu menabur fitnah benci pada DAP.
Benarkah Islam ganas?
Mungkin ada antara kita yang tidak sedar bahawa persepsi wujud dalam
dua keadaan yang berbeza. Itu berlaku dalam keadaan timbal-balik.
Tumbangnya menara World Trade Centre di Amerika Syarikat pada 2001
menimbulkan dua persepsi yang bertentangan.
Dari satu sudut, ia dijustifikasikan sebagai gelombang kebangkitan
Islam oleh sekelompok Muslim konservatif yang melihat keganasan sebagai
jalan keluar. Seolah-olah runtuhnya WTC menyembah bumi dilihat sebagai
kebangkitan ummah. Mereka tidak peduli sama ada ratusan juta umat Islam
lain tidak menyokong kekejaman tersebut.
Dari sudut lain pula, peristiwa pada 11 September itu dijadikan
alasan untuk kelompok konservatif Barat, termasuk segelintir Kristian,
untuk menuduh Islam sebagai agama yang ganas, bengis dan menakutkan.
Apalagi Amerika Syarikat ketika itu di bawah pentadbiran George W. Bush
yang memang dibayangi dosa korban rakyat Iraq serta jambang dan serban
Osama Bin Laden.
Tragedi 911 memaparkan bukti berlakunya perubahan pemikiran (mutasi)
hasil dari persoalan ‘apa itu Islam’ yang timbul akibat publisiti yang
ekstrem terhadap pengganas yang ekstrem. Walau pun masih ada masyarakat
Barat yang benci Islam, makin ramai pula yang kini berlumba-lumba untuk
mengenali lebih dekat kepada Islam setelah menyedari persepsi negatif
maha dahsyat terhasil akibat serangan tersebut telah menimbulkan
ketegangan di antara Muslim dan bukan Muslim.
Ramai di Barat semakin menyedari Islam itu memperjuangkan keadilan,
mempertahankan hak asasi, dan dalam konteks hari ini, tidak menentang,
malah banyak persamaan dengan demokrasi, kedaulatan undang-undang (rule of law) dan urus tadbir baik (good governance). Malah ramai sudah sedar Islam menentang rasuah, korupsi, salah guna kuasa dan perkauman (assibiyah).
Apa yang UMNO-BN lakukan untuk Islam?
Adakah persepsi mengenai Islam yang sebegini difahami di Malaysia?
Atau tindak-tanduk manusia penguasa atas nama Islam telah menimbulkan
persepsi Islam terhadap umat Islam dan mereka yang berlainan agama?
Yang menjadi masalah bukan soal agama, bukan Islam itu sendiri yang
menjadi persoalan. Yang menimbulkan persepsi ialah orang Islam yang
diberi amanah untuk mentadbir. Di Malaysia hari ini, walau pun ramai
umat Islam bersifat dan bersikap amanah, jujur, ikhlas dan baik hati,
ada pula yang menggunakan kuasa yang diberi kepada mereka untuk
menghalang kebebasan, menyekat hak dan mengamalkan rasuah.
Tuduhan korupsi, termasuk yang telah dihadapkan ke mahkamah dan yang
telah terbukti bersalah, turut membabitkan pemimpin yang beragama Islam.
Mereka yang berkuasa juga telah menggunakan amanah itu untuk
mengharamkan perhimpunan aman BERSIH, mengharamkan buku-buku,
mengharamkan tokoh agama memberi ceramah.
Juga pengharaman UiTM terhadap penggunaan perkataan ‘Islam’ kepada
persatuan-persatuan mahasiswa sekitar tahun 2000, perobohan surau-surau
di Terengganu, pemindahan guru-guru agama yang pro-oposisi ke negeri
lain, penarikan bantuan dan peruntukan kewangan Sekolah Agama Rakyat,
pemansuhan tulisan Jawi dan sebagainya yang tidak melambangkan
kesyumulan Islam.
Malah, kuasa yang diberi bukan sahaja digunakan untuk mengekang dan
memangsakan umat Islam tetapi juga rakyat Malaysia pelbagai kaum dan
kepercayaan. Sejak sekian lamanya rakyat Malaysia yang menuntut hak dan
memperjuangkan keadilan ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan
Dalam Negeri. Sehingga hari ini tidak ada seorang pun tahanan ISA
dihadapkan ke mahkamah.
Persoalannya jelas, Islam tidak mengancam manusia tetapi ada orang
beragama Islam yang telah menyalahgunakan amanah dan kuasa yang
diberikan oleh rakyat kepada mereka. Ini kebenarannya tetapi ia telah
dikaburkan dengan persepsi akibat sikap manusia-manusia tertentu yang
kemaruk kuasa.
Adakah DAP ancaman kepada Melayu, Islam?
Justeru, persoalan sama ada DAP mengancam Islam memang tidak timbul
sama sekali. DAP menghormati hak asasi dan kebebasan agama, sebagaimana
yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta menjadi amalan
global hari ini.
Aqidah tetap kukuh pada jiwa setiap Muslim. Pelaksanaan Islam dalam
kerangka masyarakat dan negeri kita boleh lihat seperti di Pulau Pinang,
Selangor, Kedah dan Kelantan walau pun yang mentadbir negeri-negeri
tersebut bukan UMNO-BN.
Kerajaan negeri Pakatan Rakayat sentiasa berusaha semaksima mungkin
dalam memberi pilihan dan khidmat yang yang lebih baik terhadap umat
Islam dan seluruhnya walau pun dalam ruang bidang kuasa yang sangat
terhad.
Pulau Pinang telah menjadi contoh di mana Lim Guan Eng sebagai Ketua
Menteri telah memastikan umat Islam negeri mendapat pembelaan wajar
melalui pelbagai usaha termasuk menambah peruntukan kewangan berkali
ganda berbanding pemerintahan BN, menghargai guru-guru KAFA serta para
huffaz, memberi peruntukan dan membela Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan
melaksanakan tender terbuka yang telah membolehkan kontraktor Melayu
Islam yang layak memenangi projek tanpa perlu kabel politik. Dan ini
semua dilakukan tanpa meminggirkan kaum dan agama lain.
Terpulanglah sama ada kebenaran mahu diterima atau persepsi palsu
mahu dijadikan anutan. Jika kita tidak suka apa yang kita percaya
disalahertikan atau ditohmah orang lain, maka tepuk dada tanya selera.
–
Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.