Mohon klik iklan 1X yer

29 July 2012

Cabaran dasar ‘pengurangan harga kenderaan’

Oleh: Mohd Ikhmal Mohd Iskandar

Sebagai rakyat Malaysia, janji politik yang dilontarkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli untuk mengurangkan harga kenderaan ternyata menggamit hati dan perasaan. Jika ini berjaya dilaksanakan, rakyat Malaysia akan merasai kesan positif dengan mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan.

Sebagai contoh, buat masa ini untuk kereta 1.3 cc rakyat perlu membayar RM500 untuk 9 tahun pinjaman. Dengan kadar gaji asas lepasan diploma sebanyak RM1,500.00, kadar RM500 itu menjangkau 1/3 daripada gaji asas mereka. Ditambah pula dengan syarat yang diperketatkan oleh Bank Negara, graduan yang baru bekerja terpaksa gigit jari untuk memiliki kereta baru.

Malah kenyataan daripada Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman, bagi tahun 2009 sahaja, seramai 542 orang atau hampir 50 peratus daripada 1,086 penjawat awam yang diisytiharkan muflis pinjaman sewa beli kenderaan. Ujarnya lagi, trend itu meningkat hingga 200 peratus pada 2010. Melihat kepada trend ini ia satu yang sangat membimbangkan.

Justeru itu, tindakan Pakatan Rakyat untuk mengurangkan harga kenderaan adalah perkara yang amat dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun di sebalik cadangan tersebut, Pakatan Rakyat  (selaku government in waiting) perlu melihat beberapa perkara sebelum ia mampu direalisasikan.

1.     Menangani kebanjiran kenderaan di jalan raya
Apakah pelan jangka panjang Pakatan Rakyat dalam menangani kebanjiran kenderaan di jalan raya? Mengikut kaji selidik sebuah badan bebas tempatan, penjualan kenderaan persendirian akan mengalami peningkatan hampir 50% dalam masa 3 tahun jika Dasar Pengurangan Harga Kenderaan direalisasikan.  Dengan jumlah kenderaan sedia ada yang menjangkau sebanyak 9,721,447 bagi tahun 2011, adakah jalan raya kita sudah bersedia untuk menampung pertambahan sebanyak 50% kenderaan lagi dalam masa 3 tahun akan datang?

2.     Tempias kepada pengangkutan awam
Di samping itu juga dengan keupayaan memiliki kenderaan persendirian dipertingkatkan, keinginan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam pasti akan menurun. Berdasarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, hanya 20 peratus penduduk Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam. Jika dasar ini direalisasikan nanti, sedikit sebanyak pengangkutan awam akan menerima tempiasnya. Oleh itu apakah mekanisme yang Pakatan Rakyat bakal gunakan bagi menggalakkan rakyat kekal menggunakan pengangkutan awam walaupun dalam keadaan kenderaan persendirian mengalami penurunan harga?

3.     Survival Proton dalam mendepani pasaran antarabangsa
Jika Pakatan Rakyat dapat memerintah Malaysia pada pasca PRU ke 13, dasar kereta nasional pasti akan diteruskan dengan mekanisme yang pasti berbeza. Walaubagaimanpun, Proton selaku Tunjang Belakang Automotif Negara pasti merasai tempiasnya. Justeru itu, bagi memastikan kesannya dalam kadar yang minima, Proton perlu dilihat sebagai peneraju gergasi automatif negara apabila dasar 'Pengurangan Harga Kenderaan' direalisasikan. Apa yang malang, jika Proton gagal mengharunginya dan terus tenggelam dalam Dunia Automatif Negara. Oleh itu Pakatan Rakyat perlu bersedia bagi memastikan Proton kekal berdaya saing dan rakyat mendapat nikmatnya.

Sebagai kesimpulan Dasar Pengurangan Harga Kenderaan ternyata kena pada masanya di kala rakyat dibebani kos sara hidup yang tinggi. Walau bagaimanapun, ia perlu menjalani kajian yang mendalam bagi memastikan kelestarian negara sentiasa berterusan. Di samping beban rakyat dapat dikurangkan, negara juga turut mendapat tempiasnya, malah alam sekitar juga sentiasa terpelihara.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
Penulis berkelulusan BBA (Hons) Transport , DBS (Transport) UiTM
Bekas Pembantu Penyelidik Malaysia Institute of Transport (MITRANS)
Penyelidik untuk kajian pengangkutan awam dan bas henti-henti kerajaan negeri Terengganu

1 comment:

  1. Salam Tuan. Terima kasih kerana berminat dgn MIMPI SENJA. Blog tuan telahpun saya pautkan dgn MS.
    Sama-sama lah kita berjuang utk jatuhkan rejim Najib di PRU13 nnt ... InsyaAllah

    ReplyDelete

Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.