Selebriti terkenal Abby Abadi menyatakan beliau kini sedar tuduhan
bahawa orang-orang PAS dibayar untuk ke Perhimpunan Hijau di Alor Setar,
Kedah baru-baru ini oleh orang-orang tertentu rupa-rupanya tidak benar.
Beliau yang terkenal dengan watak Inspektor Aleeza dalam siri drama
Gerak Khas, berkata ini disebabkan beliau perhatikan sendiri dalam
ceramah-ceramah PAS ahli-ahlinya yang menyumbangkan derma dan mereka
tidak dibayar untuk hadir seperti diamalkan oleh sesetengah parti
politik.
“Jadi saya yakin mereka tidak dibayar seperti yang diperkatakan dalam
media sebelum ini,” katanya dalam program Talk Show Malam Keinsafan di
Dataran Kompleks PAS Pahang, Kerdau malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan pengerusi majlis Ustaz Kamal Ashaari yang mengumumkan pelancarkan kutipan derma.
Turut menjadi ahli panel dalam program anjuran Pemuda PAS itu ialah
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi dan
Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor.
Menceritakan tentang pengalamannya, Abby berkata beliau pada mulanya
hanya melihat Islam itu hanya sebagai rutin umpamanya ramai-ramai pergi
solat Jumaat dan acara-acara keagamaan tetapi tidak melibatkan kehidupan
sosial.
“Tetapi setelah menunaikan ibadah haji ke Mekah barulah terbit rasa
insaf dan mahu melakukan penghijrahan daripada hidup sebagai artis.
“Tak sangka pula penghijrahan saya mendapat perhatian ramai orang sehingga boleh dipanggil untuk berada di pentas PAS.
“Tapi saya seronok sangat dengan pengalaman baru ini, seronok dapat
berkongsi sedikit sebanyak cara hidup Islam sebab tak pernah didedahkan
dengan suasana seperti ini dulu,” ujarnya.
Ini merupakan kali kedua beliau berada di pentas PAS di Pahang. Kali
pertama beliau dipanggil untuk majlis yang serupa di Kuala Lipis.
Abby yang kini berstatus ibu tunggal, berkata pada mulanya tidak
ambil tahu sangat tentang politik. Setelah didedahkan kefahaman Islam
dan banyak membaca barulah beliau faham kenapa perlunya perjuangan
Islam.
Mengenai dunia artis, beliau berkata jika tak pandai membodek atau tak pandai melobi memang susah untuk dapat job.
“Sekarang saya rasa lebih lapang tidak kalut untuk mendapatkan
peluang berlakon. Saya seronok dengan suasana baru ini,” jelasnya.
Beliau sempat menasihatkan generasi muda agar tidak leka sangat
dengan dunia hiburan dan turut kesal masih ada filem yang memaparkan
adegan-adegan ghairah sedangkan itu semua tidak menyumbang langsung
kepada pendidikan generasi muda.
Sementara itu, kira-kira 5,000 yang hadir memberi tumpuan kepada Abby turut mendapat ‘usikan’ Nasruddin.
“Saya sedar siapa diri saya, orang datang bukan nak tengok saya,” katanya berseloroh.
Dalam pada itu, Abby turut diberi penghormatan melancarkan sebuah
buku baru “Muslimat Celik Berpolitik’ tulisan Ustazah Anisah Tahir.
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.