Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub akan bertemu
dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dalam Debat Sinar
Harian, jam sembilan malam ini.
Debat bertajuk Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau
Mengukuh Demokrasi akan berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf,
Seksyen 17, Shah Alam.
Debat itu akan dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.
Salahudin yang berbesar hati menerima jemputan
debat itu berkata, itulah peluang untuk beliau menyumbangkan idea dan
melahirkan pemikiran yang boleh diterima semua lapisan masyarakat khususnya
golongan muda.
"Inilah sumbangan yang boleh saya berikan
kepada mereka yang mahukan politik yang sihat.
"Kita mahukan hujah berdasarkan fakta, bukan
berasaskan sentimen, emosi dan politik murahan seperti fitnah dan sebagainya.
Rakyat perlu diberi kedewasaan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.
Katanya lagi, beliau yakin Saifuddin juga dapat
menterjemahkan pemikiran baru kepada masyarakat.
"Saya telah banyak kali berkongsi pentas
dengan Datuk Saifuddin sama ada dalam televisyen atau di pentas universiti.
Saya yakin ada pemikiran baru yang akan diterjemahkan," katanya.
Sumber: Harakahdaily
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.