FGVH: Apa fatwa libatkan tanah rizab Melayu
Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menuntut supaya sebuah fatwa
dikeluarkan dalam isu penyenaraian FGVH yang bakal melibatkan lebih
105,000 ekar Tanah Rizab Melayu (TRM) dalam Felda.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata,
kehilangan tanah milik orang Islam yang berlaku di negara ini adalah
mirip kehilangan tanah orang Palestin yang berpindah tangan kepada orang
Yahudi.
“Pihak Majlis Fatwa Kebangsaan wajar bersidang untuk membincangkan
isu ini dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah,” ujarnya
dalam satu kenyataan.
Tambahnya, bukan sahaja TRM banyak dibatalkan pewartaannya secara
tidak telus, malah saiz dan lokasi TRM yang diganti tidak pernah
didedahkan kepada awam.
Sehubungan itu, tegasnya Teras membantah dengan keras penyenaraian
Felda Global Ventures (FGV) yang bakal melibatkan lebih 105,000 ekar TRM
dalam Felda.
“Jika penyenaraian ini diteruskan seperti yang ditetapkan oleh
kerajaan, orang Melayu akan kehilangan TRM yang sangat luas tanpa
jaminan bahawa ia akan diganti sepertimana yang diperundangkan dalam
Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Teras, kata beliau melihat tindakan itu sebagai suatu pengkhianatan yang jelas terhadap masa depan orang Melayu.
Katanya, penyenaraian hartanah dalam bursa saham yang menjadi aset
penting kepada orang Melayu bakal melihat tanah milik orang Melayu
dengan mudah berganti tangan kepada bukan sahaja orang bukan Melayu
dalam negara malah orang dari luar negara.
“Ini adalah suatu tindakan yang tidak boleh dibenarkan.
“Kami menuntut supaya kerajaan menjelaskan dengan terperinci status
TRM dalam penyenaraian yang akan dilaksanakan walaupun bantahan terus
diketengahkan oleh peneroka,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.