Mohon klik iklan 1X yer

30 May 2012

Memang sah FGVH untuk kroni


Tindakan peneroka menentang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) adalah tepat kerana akhirnya ia semakin kelihatan untuk kepentingan Umno dan kroninya, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.


"Sepatutnya 120,000 peneroka yang membangunkan Felda dengan keringat mereka yang menjadi penerima manfaat terbesar. 

"Tapi mereka hanya dapat 2.5 peratus atau 91 juta unit saham sahaja berbanding 11.5 peratus atau 420 juta saham yang akan diperolehi oleh pelabur-pelabur Bumiputera yang disokong oleh kerajaan di mana majoritinya dipercayai mewakili Umno atau kroni-kroni Umno," kata beliau.

Sebab itulah, kata Salahuddin, sejak awal lagi PAS menentang usaha Umno yang beria-ia dan berkeras mahu menyenaraikan FGVH di Bursa Malaysia.

"Pengalaman kita melihat dan menerima akibat dari tindak tanduk Umno mengajar kita untuk menjangka bahawa tujuan utama penyenaraian itu adalah untuk memakmurkan Umno dan kroni-kroninya.

"Dakwaan kononnya mahu meningkatkan taraf hidup peneroka-peneroka Felda hanya dakwaan bersifat kosmetik semata-mata," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Sebab itulah, katanya, begitu ramai rakyat dan peneroka Felda sendiri yang sudah menjangka bahawa penyenaraian ini bukan untuk menarik keluar peneroka daripada kepungan kemiskinan, tetapi dilihat semata-mata untuk memenuhi tamak haloba Umno dan kroni-kroninya.

"Tentu ramai yang tidak akan terkejut jika (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) akhirnya nanti akan dilihat sebagai arkitek penipuan yang memangsakan para peneroka Felda," katanya.

Sudah menjadi pengetahuan umum, kata Salahuddin, Felda ditubuhkan untuk menarik rakyat khususnya orang Melayu keluar dari belenggu kemiskinan.

"Amat malang apabila penyenaraian FGVH akhirnya menjadikan Felda sebagai kuda tunggangan untuk kemakmuran Umno dan kroni-kroninya," katanya.

Dalam penyenaraian itu, hatta kakitangan Felda lebih beruntung apabila menerima 109 juta saham (tiga peratus) serta pelabur-pelabur institusional seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) diperuntukkan 1.5 bilion saham FGVH.

No comments:

Post a Comment

Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.