Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini memohon untuk
mendapatkan permit daripada polis bagi mengadakan perhimpunan 'Raja
Berdaulat, Kasih Dijunjung' pada 29 April ini, sama ada di Padang Merbok
atau Dataran Merdeka.
Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata
perhimpunan itu yang akan diadakan mulai 9.30 pagi untuk meraikan
pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan
Agong ke-14 pada 11 April lepas.
"Kita hendak meraikan bahawa Yang di-Pertuan Agong kini sudah
mencapai bilangan ke-14, dan pada masa yang sama untuk mempertahankan
institusi diraja," katanya kepada pemberita selepas mengemukakan
permohonan permit di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini,
Selasa.
Katanya perhimpunan itu dijangka disertai pelbagai kaum.
Beliau turut membidas sikap anggota Parlimen pembangkang yang didakwa
terlibat dalam mempersendakan Raja-Raja Melayu dan pemimpin negara
semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara,
dengan berkata tindakan mereka menghina Raja-Raja Melayu di dalam istana
adalah menderhaka.
"Mereka sudah hilang kesetiaan kepada negara," katanya.
Sementara itu, Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) pula membuat
laporan polis berhubung dakwaan pemimpin pembangkang menghina Raja-Raja
Melayu di balai polis yang sama.
Presiden PVTM Mohd Ali Baharom, yang membuat laporan itu petang ini,
berkata pemimpin pembangkang perlu tampil memberi penjelasan mengenai
perkara tersebut yang dianggap seperti menghina orang Melayu.
"Kami juga memohon agar Suruhanjaya Diraja segera ditubuhkan untuk
menyiasat kenyataan yang dibuat oleh pegawai perubatan itu," katanya
kepada pemberita di sini, Selasa.
Turut hadir bagi menyokong tindakan PVTM ialah Presiden Pertubuhan
Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah dan Setiausaha Gabungan
Badan Bukan Kerajaan (NGO) Mohd Jurit Ramli.
Pada 13 April lepas, sebuah akhbar melaporkan mengenai seorang
pegawai perubatan, Dr Rahman Kadir, yang menerusi laman sosial
Facebooknya, menzahirkan rasa kecewanya terhadap perbuatan biadap
beberapa pemimpin pembangkang yang mempersendakan Raja-Raja Melayu.
-BERNAMA
HEHE! TAK makan diri ke nanti?
ReplyDelete