Oleh: Subky Latif
KETIKA Buku Jingga diluluskan oleh Konvensyen Pakatan Rakyat di Kepala
Batas lebih dua tahun lalu, hutang yang ditanggung oleh isi rumah rakyat
Malaysia ialah RM466 bilion.
Dalam Himpunan Anak Terengganu di Perantauan di Kajang hujung Mac
lalu, Prof. Dr. Anuar Ahmad dari Unisel berkata, hutang rakyat sekarang
sudah melebihi RM700 bilion sekarang.
Apa yang Buku Jingga sebut dua tahun lalu tidak pernah dinafikan oleh
pentadbiran Najib dan dipercayai kenyataan Dr. Anuar ini juga tidak
akan dinafikan.
Dengan demikian ini bererti dalam masa dua tahun di bawah
pemerintahan Najib, hutang rakyat sudah bertambah dari RM466 bilion
kepada lebih RM700 bilion. Ia adalah kenaikan sebanyak sekitar RM234
bilion.
Bagi warga emas seperti Dr. Mahathir yang berusia lebih 80-an hutang
mungkin ditanggung sehingga mati. Maka matinya dikira mati meninggalkan
hutang. Beban dunia itu tidak ditanggungnya lagi sebaik matinya.
Tetapi bagi bayi yang baru dilahirikan, sebaik saja menyedut udara
dunia, dia telah dibebankan dengan hutang RM3,000. Belum ada jaminan
hutang itu akan susut sehingga dewasanya, dan tiada juga jaminan ia
tidak bertambah dalam pentadbiran Najib yang boros itu.
Jika dalam masa dua tahun lalu hutang itu bertambah sekitar RM234
bilion ini bermakna hutang itu bertambah lebih RM100 bilion setahun.
Jika pentadbirannya disambung selepas PRU 13 ini, mungkin ssebelum tahun
2020 hutang rakyat itu menjadi RM1,000 bilion. Ini bererti hutang
setiap rakyat akan bertambah lebih dari RM3,000 seperti yang ada
sekarang.
Ketika Najib mula menjadi Perdana Menteri, dia menjanjikan untuk
menjadikan rakyat berpendapatan tinggi. Tetapi untuk beberapa tahun ini
yang terjadi ialah rakyat berhutang tinggi.
Ada pun hutang negara pula di hujung pentadbiran Abdullah Badawi yang
ditohmah lemah terutama oleh Dr. Mahathir adalah sekitar lebih dari
RM200 bilion. Ia sudah dikira cukup parah.
Tetapi sekarang, selepas tiga tahun Najib mentadbirkan hutang negara
sudah mencecah lebih dari RM450 bilion. Ia kira bertambah sekali ganda
di bawah Najib.
Dr. Awang Adek, Timbalan Menteri Kewangan dikatakan berkata, negara akan jadi bankrap apabila hutang mencapai RM500 bilion.
Angka RM500 bilion itu sudah dekat. Kalau dalam masa tiga tahun
hutang negara boleh melunjak dari sekitar RM200 bilion kepada kira-kira
RM450 bilion, maka untuk mencapai hutang RM500 bilion – sekadar RM50
bilion saja lagi – tentulah tidak memakan masa yang lama jika program
transformasi gagal masuk ke gear ajaib.
Kita sedang dikelamkabutkan oleh Ireland yang tiba-tiba bankrap.
Sekonyong-konyong Greece juga bankrap. Perdana Menterinya terpaksa
bertukar. Perdana Menteri Itali juga bertukar atas sebab yang sama.
Berita celaka itu juga sudah melanda Sepanyol dan Pertugal.
Pertukaran Perdana Menteri Greece dan Itali belum menjamin negara
itu keluar dari alam muflis. Seluruh Menteri Kewangan negara Eropah
bersidang beberapa kali bagi menyelesaikan kepapaan Greece dan beberapa
negara Eropah itu, belum nampak jalan keluar.
Malaysia sudah dekat ke ambang itu. Tan Sri Idris Jala telah
meramalkan Malaysia akan bankrap tahu 2019 jika subsidi kepada rakyat
tidak dipotong. Sekarang Dr. Anuar pula seolah-olah mengesahkan apa yang
pernah dibimbangkan oleh Idris Jala.
Dalam masa tiga tahun pentadbiran Najib ternyata transformasinya
tidak membawa apa-apa keajaiban, bahkan negara bertambah dekat ke alam
bankrap.
Katanya, dia tidak membuat janji kosong. Lidah memang tidak
bertulang. Dia boleh berkata apa-apa tetapi bagi orang Terengganu
janjinya adalah lebong. Lebong itu tidak berisi.
Jika pentadbirannya disambung selepas PRU13, sekalian rakyat akan terjun ke gaung.
~Harakahdaily
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.