Sejak kebelakangan ini, kedengaran isu ‘ancaman Kristianisasi’ ingin
ditonjolkan oleh pihak yang berkepentingan sebagai sesuatu yang
sedang melanda ummat Islam, khususnya Negeri Selangor. Walaupun ianya
tidak disebut secara terang-terangan, tetapi semua memahami mesej yang
cuba disampaikan oleh golongan ‘kontraktor upahan UMNO ini, iaitu di
bawah PR, aqeedah ummat Islam terancam dan orang Kristian
‘bermaharajalela’!
Bagi saya ini adalah bukti tambahan yang
mengukuhkan keyakinan saya bahawa BN dan khususnya UMNO ketandusan isu.
Seperti dakwaan mereka bahawa DSAI menyokong pembunuhan rakyat
Palestine demi menjamin keselamatan Israel, ‘ancaman Kristianisasi’
merupakan satu lagi ‘kisah dogeng’ untuk memukul PR. Sedangkan rakyat,
khususnya yang di Selangor, dapat melihat sendiri realiti yang berbeza
di persekitaran mereka. Masjid dan Surau semakin diimarahkan, bukan
semakin sunyi. Para ustadz semakin disanjung dan dihormati, bukan
semakin dipinggirkan. Sekolah-sekolah dan tadika Islam semakin dipenuhi
murid dan bukan semakin lengang. Malahan, para pemimpin turut
kelihatan semakin berakhlak, bukan semakin sombong dan angkuh,
tenggelam dalam kemewahan.
Namun, bagi yang tidak mempercayai
apa yang dilihat di persekitaran mereka sendiri, maka saya pamerkan
bersama jawapan Menteri BN sendiri ke atas soalan yang dikemukakan oleh
YB Parit Buntar berhubung statistik murtad di Negara Malaysia.
Jelas terbukti, jawapan yang diberikan oleh YB Menteri adalah:
“Tidak ada penganut agama Islam yang telah murtad berdasarkan tiada jenis permohonan untuk murtad di Mahkamah Syariah, kecuali… (sila baca yang seterusnya)”.
Ini bererti segala dakwaan bahawa ‘gejala murtad’ sedang melanda
negara Malaysia, khususnya murtad dalam erti kata orang Islam yang
keluar Islam demi memeluk agama Kristian, adalah satu dakwaan yang tidak
berasas kepada mana-mana fakta atau perangkaan statistik yang boleh
diyakini. Ianya hanya satu dakwaan yang sengaja dihebohkan oleh golongan
yang berkepentingan dan tidak berakhlak demi masa depan politik mereka.
ANCAMAN MURTAD YANG SEBENAR
Walaupun begitu, saya tidak menafikan bahawa ummat Islam sememangnya
diancam bahaya murtad. Tetapi ianya suatu bahaya yang dihasilkan
kejahilan ummat Islam terhadap Islam itu sendiri dalam memahami
perkara-perkara yang boleh membatalkan syahadah mereka. Dan di antara
perkara yang termasuk di dalam perkara yang boleh membatalkan syahadah
itu adalah penolakan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah
sebagai hukum-hukum yang zalim atau ketinggalan zaman.
Bahaya murtad yang terhasil dengan cara ini adalah lebih bahaya
kerana seseorang individu terus menganggap dirinya seorang Muslim tetapi
pada hakikatnya namanya telah digugurkan oleh Allah dari senarai orang
yang beriman, Naudzubillahi min dzalik. Ini berlaku kerana dia
tidak mengimani bahawa Islam dan segala yang terkandung di dalam
ajarannya adalah dari Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.
Ada juga yang menganggap dirinya Muslim walaupun dia tidak sembahyang
atau puasa atau membayar zakat. Ini adalah kerana dia Melayu dan Melayu
itu adalah Islam mengikut perlembagaan Malaysia. Golongan ini
seolah-olah tidak sedar bahawa Perlembagaan Malaysia bukan merupakan
rujukannya pada hari akhirat kelak! Kejahilannya ditambahi lagi oleh
pihak UMNO yang ingin memperkukuhkan kedududkan politik mereka dengan
menyamakan Islam dengan Melayu. Maka diistiharkan perjuangan untuk
Melayu adalah perjuangan untuk Islam! Sedangkan untuk menjadi Melayu dan
bersama ‘perjuangan Melayu’ tidak dijadikan solat, puasa dan sebagainya
sebagai rukun-rukunnya. Apatah lagi mengimani kitab-kitab Allah dan
Hari akhirat. Seorang Melayu tetap Melayu walaupun dia menolak perkara
ini semua!
Bahaya murtad yang sebegini, yang jauh lebih ramai terancam olehnya,
hasil pengaruh UMNO, adalah apa yang ingin ditangani oleh PAS.
DATO DR. HASSAN ALI DAN ISU MURTAD
Ada yang bertanyakan saya sejauhmana DHA ikhlas dalam menangani isu
murtad. Saya menjawab, keikhlasan adalah merupakan soal hati dan oleh
itu sukar untuk diukur kerana ianya sesuatu yang ghaib. Namun, apa yang
boleh saya nyatakan ialah begini: sejak beliau memegang jawatan sebagai
Pesuruh Jaya PAS Negeri Selangor pada tahun 2003 sehingga 2011, termasuk
tempoh beliau sebagai exco-agama dari 2008 hingga 2011, isu murtad
telah dibahas dan dibincang begitu kerap dan hangat sekali sebanyak
‘yiiiilek’ ribu dan ‘yiiilek’ ratus ‘yiiilek’ kali banyaknya. Jelas
ianya sejak dulu lagi menjadi tajuk kegemaranya yang tidak dibincang.
Kalau dilihat dari turutan kronologinya, ianya hanya mula dibincang
selepas beliau tidak lagi dilantik Pesuruh Jaya PAS Negeri Selangor pada
tahun 2011. Ia mula disebut oleh beliau hasil peristiwa tindakan
penguatkuasa JAIS menceroboh masuk kawasan DUMC pada Ogos 2011. Pada
ketika peristiwa pencerobohan itu berlaku, beliau sendiri mengakui
beliau tidak dimaklumkan dan hanya mendapat maklumat mengenainya pada
pagi esok ketika bersahur apabila YB Eli menghantar sms kepada beliau.
Apabila ditanya Pengarah JAIS sendiri pada jam 9 lebih pada pagi
tersebut, Pengarah JAIS juga memaklumkan beliau juga tidak mengetahui
mengapa ianya dilakukan; dan semua pihak terpaksa menunggu pasukan
penguat-kuasa kembali untuk memberi penerangan mengenai tindakan
tersebut.
Apabila semua keterangan telah diterima, termasuk dari pihak NGO dan
Gereja yang terlibat, maka terbukti bahawa dakwaan pihak penguatkuasa
JAIS bahawa adanya usaha memurtadkan orang Islam dalam majlis tersebut
adalah dakwaan yang tidak mempunyai bukti yang kukuh. Maka keluarlah
titah Baginda, “bukti tidak mencukupi untuk menyabit kesalahan…”. Titah
berkenaan turut mengandungi kenyataan bahawa usaha memurtadkan memang
dijalankan walaupun pada asalnya diakui bukti tidak mencukupi untuk
mengesahkan dakwaan tersebut. Ini bagi saya merupakan sejenis amaran
yang dikemukakan pihak Tuanku untuk menentukan tiada usaha oleh
mana-mana golongan ke arah itu.
Walau apa pun, isu ini telah dimanfaatkan oleh DHA untuk memukul PAS
supaya beliau dikeluarkan dari PAS dan atas isu ini beliau sedang
mencari pengaruh untuk menjamin PAS kalah teruk dalam PRU ke 13.
Sekiranya ini tercapai maka pada hari itu akan dikatakannya kepada PAS,
“padan muka kerana tidak menghargai kehebatan diri saya!” Maka pada hari
itu akan terbuktilah kehebatan dirinya dan dengan itu dia akan terus
disanjung oleh UMNO dan diberikan jawatan yang bersesuaian dengan
kehebatan dirinya. Mungkin inilah yang beliau hajatkan.
Sebenarnya, bukti yang dikemukakan di rumahnya tempoh hari tidak ada
apa-apa. Kalau ingin dilihat dari sudut kekukuhan bukti, ianya tidak
bernilai sama sekali. Siapa sahaja mampu membuat video yang sebegitu dan
hakikat bahawa ianya tidak dibenarkan untuk disalin dan sebagainya amat
meragukan. Sekiranya ianya adalah atas alasan ‘keselamatan’, lagi baik
tidak dibuat Sidang Akhbar kalau begitu. Serahkan sahaja kepada pihak
berwajib dan biar mereka siasat dan dakwa pihak yang bersalah. Jamil
Khir di dalam Parlimen telah mengesahkan kes sebegini sudah boleh
didakwa di Mahkamah Sivil, maka apa masalahnya?
Masalahnya ialah isu Kristianisasi ini hendak dipolitikkan dan
walaupun status persoalan ini tiada apa-apa perbezaan sejak dulu lagi,
ia ingin disensasikan oleh DHA untuk tujuan politik beliau. Maka biarlah
beliau terjun dengan labu-labunya. Pada masa yang sama, PAS akan terus
membenteras gejala murtad dalam ertikata sebenar melalui usaha
meningkatkan kefahaman ummat Islam dan perasaan cintakan Islam di
kalangan masyarakat, khususnya orang Islam.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
http://www.khalidsamad.com
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.