Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta semua jentera Pakatan Rakyat (PR) di segenap peringkat agar bersiap sedia menghadapi kemungkinan tindakan provokasi dan keganasan pihak musuh dalam menghadapi Pilihan raya Umum ke-13.
Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata ternyata apa yang berlaku di Dataran Sharuddin, Batu 8 Gombak beberapa hari lepas di mana ada penonton yang cedera ditikam dan dibaling objek menunjukkan ada pihak tertentu yang sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa mereka.
Katanya, DPPM menganggap ada pihak cuba untuk menggagalkan program penerangan seperti ceramah yang dianjurkan oleh PR kerana sifat dengki dan hasad ekoran ceramah anjuran PR kerap mendapat sambutan yang hebat daripada rakyat.