UMNO ini selalu menjadi mangsa pemimpin mereka sendiri. Dalam UMNO sedang lemah dan hampir lemas Dr Mahathir pernah berkata UMNO itu sudah busuk sampai ke ususnya. Mahathir pernah dengan lantang berkata ‘yang pandai masuk PAS, yang cerdik masuk PKR dan yang bijak masuk DAP’. Mahathir sedar itu semua. Begitu juga Daim yang mengatakan hanya tiga negeri sahaja yang akan kekal dengan BN, yang lain semuanya kalah.
Sekarang kedua-duanya mundar-mandir memberikan sokongan dan berkempen untuk parti yang Mahathir anggap sudah busuk sampai ke usus itu. Daim pula bertukar angin dan kembali menyokong Najib yang beliau pandang rendah itu. Sekarang Najib pula yang mampu untuk membawa pembaharuan untuk negara. Saya selalu berkata yang mereka berdua ini tidak boleh dipercayai kata-kata mereka.
Kalaulah mereka ini nakhoda kapal kita sebagai penumpang akan mabuk laut dan muntah-muntah kerana kapal yang mereka nakhodakan itu tidak tentu arah hala-tujunya. Tetapi sebagai orang politik, kita tidak perlu menjadi seorang yang pandai untuk mengetahui sebab kedua-duanya ini bertukar menyokong parti dan pimpinan yang mereka anggap sebagai tidak berguna dahulu. Yang tidak berguna dahulu sudah menjadi berguna sekarang.
Dr Mahathir dan Daim itu adalah pemimpin yang tidak mahukan UMNO itu kuat agar mereka sentiasa menjadi orang penting di mata parti dan pimpinan yang ada sekarang. Semasa UMNO itu dianggap kuat, maka Mahathir akan memberikan segala perkara buruk terhadap UMNO dan isu yang dimainkan oleh Mahathir terhadap UMNO itu bukannya isu yang kecil bahangnya kepada parti itu. Jika UMNO kuat Mahathir merasakan beliau akan tidak diperlukan lagi. Jika UMNO lemah, maka beliau akan menjadi penting dan berharap pimpinan UMNO akan sentiasa bersandar kepada beliau.
Sekarang ini UMNO sudah tidak boleh diperbaiki lagi dan salah seorang orang penting kepada kekusutan dalam UMNO itu adalah dicipta oleh Mahathir. Sekarang beliau menjadi penting dan beliau sendiri sudah menjadi ‘panic’ kerana kekalahan UMNO itu adalah satu kejadian yang tidak mustahil lagi sekarang ini. Dalam keadaan sekarang Mahathir terus berlegar di setiap peringkat menyanyikan lagu UMNO itu sebagai penyelamat bangsa dan negara.
Jika kita cuba hendak selarikan dengan komen beliau yang UMNO itu sudah busuk sampai ke ususnya tahun lepas, bagaimana pula beliau boleh mendesak rakyat untuk kembali menyokong UMNO yang beliau sendiri merasakan parti yang sudah busuk sampai ke ususnya itu? Pimpinan UMNO semasa beliau menganggapnya sebagai busuk dahulu masih memegang kuasa parti itu.
Ini adalah dalil yang pemimpin seperti Mahathir itu hanya memerlukan parti yang memerlukan beliau sahaja yang memerintah walau sebusuk mana pun parti itu. Yang penting bagi beliau, Mahathir hanya memerlukan pihak mana yang boleh memberikan dan memenuhi kehendak beliau sahaja untuk memerintah.
Mahathir akan mempersetankan kehendak dan harapan rakyat. Harapan yang perlu dipenuhi hanyalah harapan beliau sahaja dan menjadikan pimpinan UMNO sebagai buah ‘DAM’ sahaja dan boleh ditolak dan disorong ke depan dan ke belakang mengikut kehendak dan kemahuan beliau sahaja.
Jika parti ini masih mentadbir kita, apakah harapan rakyat ramai pada masa depan? Parti ini sudah dijadikan alat permainan oleh Mahathir yang tidak puas-puas dengan kemahuan keluarga dan kepentingan kroni-kroni beliau.
Sebenarnya Mahathir mahukan UMNO menang tipis kerana beliau hendak terus menjadi orang penting dan kali ini beliau akan memulakan proses pengambilalihan kuasa dari Najib untuk diserahkan kepada Muhyiddin. Beliau merasakan permainan beliau ini akan terus berjaya lagi kali ini.
Itu sebabnya saya tidak dapat mengalihkan persepsi saya terhadap Mahathir yang selagi UMNO lemah selagi itulah pimpinan UMNO akan di ‘gomeng’ kepala mereka sekehendak hati beliau.
Mahathir tidak pernah mahukan kepimpinan UMNO yang kuat untuk kepentingan beliau sehinggakan UMNO itu tidak lagi mempunyai harapan untuk pulih dan parti itu tidak mungkin pulih sampai bila-bila.
Justeru itu, tidak salah ahli-ahli UMNO itu memberikan sokongan kepada pihak lain kerana mereka hanya menjadi alat untuk kepentingan mereka yang sudah ketagih dengan kuasa melakukan apa-apa jua terhadap rakyat.
Mahathir sedang menggunakan saki-baki pengaruh beliau dengan sepenuhnya untuk melaga-lagakan rakyat jika perlu, semata-mata untuk kepentingan beliau selama beliau masih hidup. Beliaulah orang yang paling sibuk sekarang ini. Tidak ada sesiapa yang lebih penting dalam negara ini selain dari Mahathir.
Mahathir membuatkan UMNO berperang sesama sendiri, harta rampasan perang beliau dan Daim yang kumpul.
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.