Mohon klik iklan 1X yer

31 March 2013

BN akan menang besar?

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Dengan pembubaran Dewan Rakyat tidak lama lagi bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), persoalan yang berlegar di setiap kepala sama ada ahli politik, pemerhati politik, pelabur, ahli perniagaan atau rakyat biasa, apakah Barisan Nasional (BN) akan kembali dengan mandat yang lebih utuh berbanding pilihan raya umum 2008 ?
Terpulang kepada kira-kira 13 juta pengundi untuk menentukannya, seorang ahli akademik yang menjejaki perkembangan politik di negara ini percaya arus politik semasa memihak kepada BN.

"BN akan dapat balik kerusi yang jatuh ke tangan pembangkang. BN akan menang besar. BN akan dapat kerusi dua pertiga." Ini analisis peribadi Prof Dr Kamaruddin M Said, Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara (MPN) dalam wawancara khas dengan Bernama di sini baru-baru ini.

Kamaruddin mengakui bahawa pandangan beliau mungkin dianggap terlalu optimistik oleh sesetengah pihak tetapi pandangan ini berdasarkan kepada sentimen pengundi dan asas-asas yang memihak kepada BN.

Dengan menyifatkan PRU13 sebagai pilihan raya penyelarasan, beliau berpandangan pengundi 2008 sudah dapat menilai baik buruk, kekuatan dan kelemahan kedua-dua pihak BN dan pakatan pembangkang (PR).

Oleh kerana itu beliau menjangka BN dapat merampas semula semua atau sebahagian besar daripada 30 kerusi parlimen yang jatuh ke tangan PR pada PRU12.

Untuk rekod, BN gagal mengekalkan majoriti dua pertiga pada PRU 2008 dengan memperoleh hanya 140 kerusi parlimen sementara PR memenangi 82 kerusi parlimen.

Di peringkat DUN, BN memperoleh 307 kerusi sementara PR 198 kerusi.

LEBIH DINAMIK

Apabila Kamaruddin menyatakan BN akan menang besar, beliau menyandarkan analisis yang optimis ini kepada kepimpinan kerajaan dan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kepimpinan BN sudah jauh berubah berbanding 2008. Dinamik, pemikiran yang lebih terancang dan langkah-langkah pembangunan yang strategik mencirikan kepimpinan Najib.

Beberapa faktor ini difikirkannya akan mempengaruhi pengundi untuk memberi undi mereka kepada BN.

Kepimpinan Najib yang lebih dinamik dengan pelbagai program transformasi serta inisiatif 1Malaysia dilihat sebagai kunci utama yang akan mengembalikan kemenangan besar BN pada PRU13.

Menurut Kamaruddin, Gagasan 1Malaysia yang dianggap sebagai sangat strategik seakan mahu memujuk bukan Melayu dan memberi harapan kepada orang Cina dan India.

Ia juga berjaya kerana diumumkan pada masa orang Melayu tidak takut lagi kepada persaingan.

"Semuanya kerana kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berjaya melahirkan Melayu Baharu profesional.

"Jika diumumkan pada 1970 ia tidak mungkin diterima kerana Tragedi 13 Mei 1969. Orang Melayu pada masa itu mengharapkan pembasmian kemiskinan dan pembelaan.

"Tetapi apabila diumumkan pada 2009, orang Melayu menerimanya dengan tenang sebab minda orang Melayu terutama Melayu Baharu sudah berani bersaing, sudah berani ke pentas antarabangsa," kata Kamaruddin.

UNTUK SEMUA

Kamaruddin, yang juga pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), berkata terdapat banyak unsur kebijaksanaan dalam dasar-dasar baharu yang dibuat Najib.

Beliau mengambil contoh kepada pemansuhan Akta Darurat serta Akta Keselamatan Dalam Negeri.

"Akta Universiti dan Kolej Universiti 1970 juga sudah dilembutkan dan tidak ada lagi halangan untuk pelajar terlibat dalam politik.

"Promosi program-program 1Malaysia dengan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan jelas menunjukkan mana-mana rakyat yang memerlukan akan diberi bantuan tanpa mengira kaum.

"Ini dilihat sebagai adil dan saksama terutama bagi pengundi atas pagar, " jelasnya.

BUKAN PENENTU

Jika ada orang beranggapan PRU13, pilihan raya penentu, Kamaruddin berpendapat sebaliknya.

"Mungkin pandangan saya ini berbeza daripada pandangan orang lain. Pilihan raya penentu sebenarnya ialah PRU12 pada 2008.

"Pada PRU12, Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan sahaja merampas 30 kerusi parlimen yang sebelum itu dikuasai BN tetapi pembangkang menguasai lima buah negeri.

"Kedudukan PKR juga menjadi hebat. Daripada satu kerusi parlimen, PKR menambah 30 lagi kerusi parlimen. Pada saya pengundi yang mengundi PKR ialah pengundi atas pagar," kata Kamaruddin.

Pengundi atas pagar yang disebutkan ini ialah golongan muda dan profesional.

Dua faktor dikaitkan dengan kemenangan besar PR iaitu kepimpinan BN yang lemah serta simpati bagi Anwar Ibrahim yang keluar daripada tahanan dan diangkat sebagai wira.

"Hampir 100 peratus pengundi atas pagar ini menyokong dia (Anwar). Kalau nak menang masa itulah sepatutnya. Bagaimana pihak pembangkang tidak berjaya mendapat undi yang banyak," jelas Kamaruddin.

TIDAK SUSAH

Bukan sedikit yang menjadi taruhan pada PRU13. Pembangunan negara, keamanan dan masa depan yang cerah untuk generasi muda khususnya.

Ini yang perlu dijaga dan keputusan untuk membuat pemilihan yang tepat bagaimanapun bukanlah sukar. Perkara ini turut ditekankan Kamaruddin.

Menurut beliau, pengundi sekarang bukan berada dalam keadaan 'ditelan mati emak, diluah mati bapak' seperti senario 2008.

"Pilihan untuk PRU13 sudah menjadi mudah. Kepimpinan Najib adalah yang terbaik dan saya fikir majoriti akan membuat keputusan seperti itu termasuk kumpulan atas pagar.

"Saya rasa tidak juga sukar untuk pengundi atas pagar meninggalkan Anwar kerana mereka sudah membayar pampasan pada 2008, sudah tak ada rasa bersalah.

"Sekarang pun imej Anwar sebagai wira sudah tercalar banyak. Dia juga tidak boleh mengharmonikan kerjasama tiga parti dalam PR," kata Kamaruddin.

Menurut beliau, sebenarnya tidak ada keserasian politik antara PAS, DAP dan PKR berbanding kerjasama yang agak mantap dalam kalangan parti-parti komponen BN.

"Terkini isu kalimah Allah dan siapa akan jadi perdana menteri jika PR menang," kata Kamaruddin.

Bagaimanapun, beliau berkata penyokong pembangkang tegar parti pembangkang tidak akan mengubah pendirian mereka untuk terus menyokong pembangkang pada PRU13.

ARAB SPRING

Ketika bahang PRU13 semakin terasa, ada juga pihak yang membuat telahan 'Arab Spring' akan berlaku di Malaysia.

Dalam menolak andaian itu, Kamaruddin mengingatkan bahawa 'Arab Spring' itu sebenarnya ditaja kuasa besar terutama Amerika Syarikat.

Menurut beliau, gerakan ini ada kaitannya dengan pandangan Amerika Syarikat bahawa keselamatan negara itu digugat oleh para pemimpin Arab ini yang kemudian dijatuhkan satu persatu.

Ini termasuk Hosni Mubarak yang dikorbankan meskipun ia sekutu Amerika kerana Amerika menganggap Mesir akan menjadi pentas yang boleh menggugat kedudukannya.

Menurut Kamaruddin, Malaysia hanya sebuah negara kecil dan tidak pernah menggugat keselamatan Amerika Syarikat.

"Walaupun kita kecil, perdagangan kita dengan Amerika sangat penting dan besar. Persepsi Amerika terhadap negara kita pun sudah berubah berbanding sebelum ini.

"Maknanya dalam keadaan sekarang, Amerika tak akan membantu untuk melancarkan Arab Spring di Malaysia," tambahnya.

AMAL DEMOKRASI

Malaysia juga satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mengamalkan demokrasi sejak merdeka dengan mengadakan pilihan raya setiap lima tahun sekali.

Parti yang memerintah walaupun tidak sepenuhnya sempurna namun berjaya memainkan peranan membangun negara, menyusun masyarakat, memerangi komunis, mengatasi Peristiwa 13 Mei dan melancarkan DEB.

Menurut Kamaruddin, sejak Merdeka, BN mencatatkan rekod yang baik dalam membangunkan negara.

Ia hasil kerjasama gabungan nasionalis Melayu, Cina, India dan kemudian nasionalis Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata parti yang memerintah bukan sekadar menabur janji dan mengaitkan dengan peribahasa "Siapa Menyemai Angin Dia Menuai Badai." "Maknanya, katakanlah parti memerintah hanya pandai menabur janji, sudah tentu kerajaan itu sudah lama hancur. Ini tidak berlaku kepada BN," tegasnya.

-- BERNAMA 
-------------------------------------------------------------------------
** Apa tunggu lagi. Bubarkan ajalah Parliment kalau BN benar benar berkeyakinan mencapai kemenangan besar.
 

No comments:

Post a Comment

Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.