Kita semua tahu bagaimana Pahang, sebuah negeri yang terbesar di
Semenanjung telah dikurniakan khazanah Alam Semulajadi yang luas
sehingga sebahagian darinya dijadikan sumber rezeki kepada penduduknya
malah hasil tanaman, ternakan malah sumber air dari negeri itu
disalurkan pula ke negeri-negeri yang lain.
Kawasan tanahnya pula terlalu luas sehingga ada sahabat-sahabat saya
dari PAS Negeri adakalanya mengeluh letih sehingga ada yang demam
beberapa hari kerana terpaksa bergerak jauh menunaikan tanggungjawab
masing-masing ke seluruh pelosok negeri.
Di atas bantuan merekalah, pendedahan demi pendedahan jenayah Alam
Sekitar di negeri itu dipaparkan buat pengetahuan umum. Saya dimaklumkan
ada di antara petugas-petugas kita yang terdedah kepada ancaman
keselamatan oleh pihak yang tertentu ketika proses mengumpulkan bukti
jenayah itu. Inilah komitmen PAS untuk melindungi keselamatan, kesihatan
dan pemuliharaan alam sekitar di negara ini sehingga sanggup meletakkan
misi itu melebihi kepentingan diri dan keluarga.
Ancaman sisa radioaktif LYNAS di Gebeng Kuantan, pencemaran Sungai di
Cameron Highlands, Bentong dan di Kuala Lipis, pembangunan dan
penerokaan tanah tidak terkawal dilereng bukit di sekitar Cameron
Highlands, pusat insinerator di Blue Valley, projek Hidroelektrik di Ulu
Jelai, pembalakan haram, serta pencemaran Tasik Chini yang dijangka
akan pupus menjelang tahun 2030 adalah sebahagian dari bukti jelas
kerakusan pemerintah khususnya di negeri itu yang meratah sumber alam
ini seolah-olah alam yang kita pinjam ini tidak perlu dipulangkan
kembali seperti sediakala kepada anak-anak dan keturunan kita. Bukankah
kita hanya meminjam? Tetapi kenapakah kerajaan negeri di bawah UMNO dan
Barisan Nasional menjadikan semua itu MILIK dan HAK KEKAL mereka?
Ketika semua lokasi yang saya sebutkan tadi sedang diratah oleh pihak
tertentu, penduduk sebuah perkampungan di Bukit Koman Raub pula sedang
berjuang selama lebih 3 tahun demi nyawa keluarga mereka dari ancaman
bahan kimia Cyanide yang amat bertoksik itu malah dikatakan antara bahan
kimia yang paling merbahaya di dunia ini dan pernah diberi gelaran
‘agen pembunuh’ ketika Perang Dunia Pertama dan Kedua. Tahukah anda
bahawa rakyat terpaksa membayar dengan harga yang tinggi dan tanpa
pengetahuan mereka akan bahaya sebenar yang wujud disekeliling kita?
Kenapakah industri berat atau berisiko tinggi seperti ini sentiasa
menjadi pilihan UMNO dan Barisan Nasional? Adakah kerana lebih tinggi
risikonya, maka lebih besar pulangannya kepada negara atau adakah kerana
besar pulangannya kepada kroni-kroni mereka?
Saya pernah menegur wakil MITI kerana tidak berhati-hati ketika
menerima kemasukan industri berisiko tinggi seperti LYNAS kerana terlalu
teruja untuk mencapai sasaran ‘FDI’ atau ‘Foreign Direct Investment’
negara. Tidak salah untuk menerima pelaburan luar asing tetapi biarlah
keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan penduduk diambil kira
terlebih dahulu sebelum pelaburan luar asing itu diluluskan.Yang lebih
mendukacitakan ialah tindakan memberi pengecualian cukai selama 12 tahun
oleh Kerajaan Malaysia walaupun LYNAS menyatakan bahawa mereka
memperolehi pendapatan 8 billion setahun.
Bukankah banyak industri luar lain yang boleh dibawa masuk oleh MITI?
Industri di mana Malaysia mahir dan berpengalaman di dalam
menguruskannya. Tidak yakinkah kita untuk mencapai sasaran FDI itu tanpa
industri berisiko tinggi seperti itu?
Memandang industri nadir bumi adalah industri yang baru di negara ini
ditambah pula dengan krisis keyakinan rakyat terhadap kegagalan
kerajaan persekutuan dan negeri dari kalangan UMNO dan Barisan Nasional
di dalam menyelia dan menyediakan kekuatan yang mencukupi untuk
agensi-agensi penguatkuasaan di dalam menjalankan tugas mereka dengan
baik, ditambah pula dengan kelemahan undang-undang serta proses yang
sedia ada yang terdedah kepada manipulasi pihak tertentu untuk
‘menghalalkan’ industri yang tidak halal itu, maka PAS telah mengambil
pendekatan mencegah adalah lebih baik dari mengubati untuk tidak
menyokong industri berisiko tinggi seperti itu.
Dan kerana kelemahan yang sedia ada kerana kegagalan Umno dan Barisan
Nasional di dalam mentadbir negara ini, PAS juga menolak industri
perlombongan emas yang menggunakan ‘agen pembunuh’ Cyanide ini.
Terlalu banyak fakta dan bukti jelas akan bahayanya Cyanide ini
kepada nyawa manusia dan alam sekitar di seluruh dunia sehingga terdapat
beberapa negara yang sudah mengharamkan kemasukan bahan berisiko tinggi
itu ke negara mereka, tetapi kenapakah Malaysia tidak mengharamkannya?
Kenapa pula apabila ia tidak diharamkan, tidak pula diwujudkan panduan
yang jelas seperti yang dilakukan Kesatuan EU untuk mengawal selia
sektor perlombongan emas yang menggunakan bahan kimia yang amat
bertoksik itu? Bukankah ini bukti jelas bahawa pembuat dasar yang
terdiri dari kalangan ahli politik UMNO dan Barisan Nasional tidak
sensitif maklumat?
Ketika PAS mempertikaikan kelulusan membina kilang LAMP milik LYNAS yang dikeluarkan SEBELUM
kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar(PEIA) oleh Jabatan Alam Sekitar
termasuk pengabaian tuntutan konsultansi pihak awam melalui Lokal Agenda
yang digunapakai oleh Majlis Perbandaran yang akhirnya diakui oleh
Jawatankuasa PSC LYNAS, PAS juga mempertikaikan bagaimanakah sebuah
syarikat perlombongan emas yang menggunakan bahan kimia yang amat
bertoksik ini ditambah pula dengan bukti kemalangan demi kemalangan yang
melibatkan banyak kemusnahan alam sekitar dan kemalangan jiwa di
seluruh dunia, kelulusan tetap diberikan kepada sebuah syarikat yang
dikatakan mempunyai hubungan dengan veteran politik dari MCA itu
walaupun lokasi syarikat perlombongan itu hanyalah kurang dari 500 meter
dari kawasan penempatan penduduk Kampung Bukit Koman termasuklah sebuah
Kem Tentera. Kenapakah INDUSTRI BERAT seperti ini tidak diletakkan di dalam Kawasan Perindustrian agar proses kawalan yang lebih ketat dapat dikuatkuasakan?
PAS juga mempertikaikan atas dasar apakah syarikat perlombongan itu
dikurniakan pajakan tanah seluas 300 ekar selama 19 tahun? Termasuk
tiadanya ‘Emergency Response Plan (ERP)’ atau Pelan Tindakan Kecemasan
yang seharusnya diwajibkan ke atas industri berat seperti itu. Kenyataan
yang dipetik dari wakil Jawatankuasa Bertindak Penduduk Bukit Koman
jelas membuktikan tiada satu pun latihan bersama yang dibuat oleh pihak
syarikat dengan penduduk setempat malah dengan pihak berkuasa khususnya
polis dan bomba jika berlaku apa jua kemalangan dari operasi syarikat
perlombongan emas itu.
Potensi kemalangan dan kesan akibat kemalangan khususnya dari ‘CIL
Plant’ atau Loji CIL termasuklah ‘Detoxification Plant’ atau Loji
Detoksifikasi khususnya pelepasan gas dan letupan termasuklah kebakaran
adalah tinggi serta mampu melebihi tahap pendedahan yang dibenarkan
malah kenyataan yang dipetik dari Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan
Amerika Syarikat(CDC), ketika berlakunya kemalangan yang melibatkan
bahan Cyanide itu, penduduk haruslah dipindahkan sejauh 800 meter dari
lokasi kebakaran atau bencana itu.
Bagaimanakah proses pemindahan penduduk itu mampu dilaksanakan dengan
baik jika tidak ada kekerapan latihan bersama yang pernah dilakukan
oleh pengurus syarikat perlombongan itu dengan penduduk setempat dan
pihak berkuasa?
Bagaimanakah keselamatan penduduk setempat termasuklah anggota
tentera dari Kem yang terdekat terjamin jika lokasi penempatan mereka
hanya kurang dari 500 meter apabila CDC mencadangkan pemindahan penduduk
haruslah melebihi 800 meter?
Pemantauan dari wakil Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat jelas menunjukkan
jika tiadanya latihan bersama yang berterusan seperti yang dituntut
oleh Pelan Tindakan Kecemasan(ERP) itu termasuk faktor kepadatan
perumahan di sekitar lokasi penempatan 3000 penduduk disitu, proses
pemindahan penduduk akan menjadi sukar dan perlahan sedangkan aspek MASA dan ALATAN PERLINDUNGAN atau ‘PERSONAL PROTECTIVE EQUIPMENT(PPE)’ yang harus dipakai penduduk amatlah dititikberatkan ketika proses pemindahan itu.
Inilah kelemahan ketara UMNO dan Barisan Nasional khususnya Ahli
Parlimen Raub mereka yang juga Menteri Pelancongan dari MCA itu yang
jelas tidak mengambil kira aspek-aspek mandatori yang perlu ditekankan
oleh syarikat perlombongan emas itu untuk memastikan keselamatan dan
kesihatan penduduk di kawasan parlimen beliau sentiasa terjamin.
Selepas lebih 3 tahun wakil Jawatankuasa Penduduk Bukit Koman
merintih perhatian dan tindakan dari beliau, MCA masih gagal bertindak
untuk menyelesaikan isu ini. Mungkinkah kerana MCA sibuk mempertikaikan
isu Hudud sehingga lupa kebajikan rakyat di kawasan mereka? atau mereka
hanya meletakkan kepentingan syarikat perlombongan emas itu yang
dikaitkan juga dengan veteran MCA itu berbanding kepentingan rakyat?
Agak memalukan apabila Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen dari
Bentong itu serta berjiran dengan Menteri Pelancongan itu juga gagal
menyelami masalah penduduk di Bukit Koman. Sepertimana beliau
berdolak-dalik dalam isu LYNAS di Gebeng Kuantan, beliau juga kini
dilihat berdolak-dalik dalam isu Bukit Koman di Raub. Jelas inilah
kepakaran ahli politik dari UMNO dan Barisan Nasional yang dilihat mahir
berdolak-dalik demi menyelamatkan karier politik mereka daripada nyawa
pengundi-pengundi mereka yang tidak berdosa.
Mereka pernah mengeluarkan kenyataan mengelirukan bahawa sisa buangan
radioaktif LYNAS akan disimpan di negara ini, kadang-kala hanya
sementara dan ada pula kalanya akan dihantar kembali ke negara asalnya,
sehingga rakyat keliru yang mana satukah keputusan mereka kesan dari
kerap berdolak-daliknya mereka itu. Mungkinkah ini tabiat semulajadi
semua wakil rakyat dari MCA itu?
Saya juga dimaklumkan bahawa sebuah syarikat petro-kimia dari Taiwán
yang ditolak oleh Kerajaan Taiwán sendiri kerana isu potensi pencemaran
alam sekitar di negara itu mungkin akan diberi kelulusan untuk pelaburan
berbillion ringgit dalam projek Rapid di Pengerang Johor. Jika ini
berlaku, maka jelaslah bahawa pembuat dasar dari UMNO dan Barisan
Nasional sama ada diperingkat persekutuan dan negeri yang diperintah
mereka hanyalah mengutamakan keuntungan ekonomi semata-mata khususnya
kroni-kroni mereka sehingga membelakangkan keselamatan dan kesihatan
rakyat di negara ini serta pemuliharaan alam sekitar.
Adakah negara ini tempat pembuangan sisa-sisa yang ditolak oleh
negara asal mereka? (Taiwán dan Australia) Jika YA, maka tiadalah beza
kita dengan negara dunia ketiga dan tersasar jauhlah kita dari matlamat
asal negara untuk menjadi sebuah negara maju.
Saya amat yakin, jika UMNO dan Barisan Nasional terus diberi mandat
untuk memerintah negara ini selepas PRU-13, segala-galanya akan hancur
berkecai sehingga tiada apa lagi yang boleh kita wariskan kepada anak
dan cucu kita. Semoga Allah S.W.T menyelamatkan kita dari kerosakan yang
dibawa pimpinan UMNO dan Barisan Nasional. Sekali lagi saya ingin
menyeru, seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kezaliman ini
untuk sama-sama turun ke Raub Pahang pada 2hb September ini (Ahad)
sebagai satu tindakan solidariti bantahan penggunaan ‘agen pembunuh’
Cyanide serta suara rintihan rakyat terhadap kemusnahan alam sekitar
khususnya di negeri Pahang.
“HIJAUKAN BUMI MALAYSIA”
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.