Isu diskriminasi baja cap dacing yang berlarutan sejak 20 tahun lalu,
dikejutkan pula apabila ada petani dipaksa memasang bendera Barisan
Nasional (BN) sebelum borang bantuan ditandatangani.
Borang tersebut perlu ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan
dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) sebagai syarat bagi
mendapatkan baja subsidi.
Isu terbaru itu didedahkan Hassan Mohamood (PAS-Tawang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.
Katanya, isu berkenaan berlaku di Kampung Takel di mana petani yang
datang untuk menandatangani borang permohonan baja subsidi cap dacing
diarah JKKKP memasang bendera BN dipagar rumah mereka.
“Ramai petani mengadu kepada saya masalah itu. Saya kata kepada
mereka mengapa tidak ambil. Lalu mereka jawab geli hendak pegang bendera
Umno atau dacing.
“Petani memberitahu mereka dipaksa memasang tiga bendera BN di pagar rumah selepas borang permohonan baja ditandatangani JKKKP
“Semalam kita bentuk satu jawatankuasa bersama penduduk bagi
menangani masalah tersebut,” katanya ketika mengemukakan soalan
tambahan.
Isu baja cap dacing digegerkan di Kelantan sejak 1990 apabila petani
yang tidak menyokong BN sukar untuk mendapatkan baja subsidi.
Ada kes di mana petani perlu bersumpah tidak lagi mahu mengundi PAS bagi membolehkan mereka mendapatkan baja.
Malah isu berkenaan sering kali dibangkitkan pada persidangan Dun,
namun ia belum selesai sehingga sekarang biar pun Ketua Pembangkang
penggal lalu, Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan akan menyelesaikannya.
Berikutan masalah tersebut kerajaan negeri mengeluarkan sendiri baja
padi yang diurus Kumpulan Pertanian Kelantan Sdn Bhd. Setiap tahun
kira-kira RM2 juta diperuntukan bagi tujuan tersebut.
Sebelum itu ketika menjawab soalan Abdul Azziz Kadir (PAS-Jelawat)
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che
Abdullah Mat Nawi berkata, kawasan pertanian terbiar seluas 2,677 hektar
berjaya dipulih sejak 2006 hingga tahun ini.
Katanya, purata kawasan yang dipulih setiap tahun seluas 200 hektar.
“Pelbagai usaha dilakukan bagi memulihkan kawasan yang lebih tiga
tahun terbiar termasuk mewujudkan sistem pengairan, bantuan input
pertanian dan kefahaman lebih menyeluruh melalui konsep Bertani Satu
Ibadah,” ujarnya.
Persidangan Dun Kelantan berakhir tengah hari tadi.
-Harakahdaily
salam ziarah tuan, blog tuan telah saya link kan
ReplyDelete