Oleh Izmil Amri
Apabila ada seorang hadirin bertanya sambil mencuba untuk memintal-mintal konteks tajuk satu wacana minggu lalu dengan soalan “sama ada DAP merasa terancam dengan kebangkitan Islam”, saya melihat tepat ke wajah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk melihat riak mukanya, agar dapat saya teka kadar keterancamannya.
Rambutnya yang bersikat kemas sedikit pun tidak terusik. Otot mukanya
juga tidak menguit. Ternyata Guan Eng sedikit pun tidak merasa gusar,
apa lagi rasa terancam.
Kenapa perlu dia rasa terancam dengan kebangkitan Islam? Kenapa dia
perlu risau dengan kebangkitan umat Arab yang dahagakan demokrasi dan
kebebasan menentang regim kuku besi di negara-negara mereka?
Walau pun hadirin tersebut mungkin tidak bermaksud apa-apa dalam
bertanyakan soalan itu, pertanyaan sebegini biasanya dibawakan oleh
mereka yang tiada minat untuk berdakwah, tetapi lebih senang menghukum
oarng lain yang tidak sealiran dengannya yang dilabel sebagai musuh
Islam.
Bagi kelompok seperti ini, orang bukan-Islam dalam alam fantasinya
dilihat sentiasa berkonspirasi untuk menjatuhkan Islam dan memurtadkan
sesiapa sahaja yang termampu. Ini mentaliti Hasan Ali; dan saya tumpang
kasihan dengan mentaliti ini.
Mengapa suka menghukum, memaksa?
Ya benar, Islam jauh lebih besar berbanding soal-soal pokok yang cuba
ditekuni oleh DAP dan pemimpinnya, yang rata-rata tidak pernah masuk
kelas agama Islam di sekolah rendah. Jadi tidak hairan kenapa pemahaman
Islam mereka tidak begitu hebat. Tetapi ramai juga orang Islam sendiri
yang kurang jelas tentang agama sendiri.
Adalah amat dangkal jika Lim Guan Eng mahu dihukum kerana kekurangan
ilmu tentang agama dan ritual Islam. Sindrom mahu menghukum ini adalah
sindrom yang tidak boleh dibiarkan melarat di kalangan orang Melayu
Islam yang merasakan dirinya lebih Melayu dan Islam berbanding orang
Melayu Islam lain. Ini juga mentaliti yang wajar dikasihani.
Islam sepatutnya disampaikan melalui dakwah. Tapi bukan sahaja
golongan ini tidak mahu berdakwah kepada Guan Eng, malah mahu pula
dipaksanya memahami agama Islam menurut acuan mereka sendiri. Bukankah
Tuhan menyuruh supaya berdakwah dengan cara hikmah?
Hudud dijadikan isu politik
Soal hudud menjadi begitu popular dalam wacana ‘Adakah Dasar DAP
Mengancam Islam’ anjuran Roketkini.com di Shah Alam, Selangor pada Rabu
lalu. Ini tidak menghairankan sangat, kerana memang itulah soalan paling
sinonim ciptaan UMNO untuk menyerang DAP, sebuah parti sosial demokrat
pelbagai kaum yang menentang rasuah, korupsi, salah guna kuasa dan
perkauman.
DAP mempunyai pendirian tersendiri tentang hudud atas dasar
ideologinya sendiri serta kontrak sosial Merdeka yang kini dijelmakan
sebagai Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui bersama tokoh-tokoh
kemerdekaan dari kalangan Islam dan bukan-Islam pada 1950-an dahulu.
Namun, propaganda UMNO-Barisan Nasional sengaja dijadikan senjata
menyerang DAP yang seringkali disalah erti, dek kerana prejudis
masyarakat ramai terhadap parti itu yang dikatanya sosialis dan menolak
agama. Sehingga ramai yang tidak sedar bahawa DAP adalah parti yang
terbuka kepada semua kaum dan penganut agama, asalkan jiwanya bersifat
demokratik, yakin kepada keadilan, memperjuangkan kebebasan, hak asasi
manusia dan peluang saksama.
Walau apa pun alasannya, UMNO terang-terangan tolak hudud. Timbalan
Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba berpusing-pusing tapi yang
nyata, beliau menjelaskan BN tidak akan melaksanakan hudud. MCA tambah
menghina hudud. Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah menyebut
bahawa hudud akan membawa Malaysia ke zaman kuno dan menakutkan pelabur
asing.
Persoalannya,
jika jelas UMNO dan MCA bersekongkol menolak hudud, mengapa DAP yang
menjadi sasaran? Mengapa orang Islam yang bersungguh-sungguh mahu
melaksanakan hudud tidak bertanyakan soalan yang sama ini pada setiap
kali ada wacana, dialog, ceramah atau apa sahaja acara kepada para
pemimpin UMNO-BN?
Pendirian DAP jelas nyata, tiada dolak dalik. Malah DAP berani
menganjurkan wacana dan dialog walau pun disedari soalan-soalan yang
susah akan dilontarkan.
Kenapa Presiden UMNO Najib Razak tak mahu anjur wacana supaya orang
ramai boleh bertanya soalan-soalan susah kepadanya pula? Lagikan ditanya
tentang Scorpene dan Altantuya sudah ditepis soalan itu jauh-jauh.
Inikan pula nak ditanya tentang hudud dan siyasah syar’iyah.
Pada malam wacana itu, Guan Eng ternyata tidak berhutang penjelasan
dengan sesiapa pun malam itu. Bak kata orang putih, semuanya ‘clear cut’.
Tiada selindung-selindung. Hujahnya mantap dan pendiriannya jelas
nyata. Tidak ada orang yang bangun bertanya mohon klarifikasi dan ajak
berdebat panjang. Itu tandanya soalan mereka sudah terjawab, dan
rata-rata hadirin pulang dengan hati yang lapang dan tenang.
DAP, tak kenal maka tak cinta
Pengurusan dan pentadbiran DAP adalah bersifat sekular. Ini bermakna
ia tidak mempergunakan atau memanipulasi apa-apa agama sebagai asas
perjuangan parti. Malah, agama tidak dijadikan alasan dalam sebarang
aktiviti politik, termasuk dalam kempen di dalam dan luar parti.
Ia bukan anti-agama, hanya bersifat non-agama di mana semua ahli yang
berbeza agama adalah sama rata, sama hak dan sama peluang. Ini bererti
tidak ada sesiapa yang dipilih atas dasar agama anutannya atau warna
kulit atau keturunannya, melainkan kelayakan, kemampuan, kebolehan,
kejujuran, kecekapan, ketelusan dan sifat amanah seseorang.
Sekularnya DAP sebagai sebuah entiti politik hanya menunjukkan bahawa
parti memandang agama sebagai hak individu. Sebagai parti yang buat
masa ini majoriti ahlinya Cina, pastilah ia tidak mahu memandai-mandai
dalam hal agama, termasuk hudud.
Oleh kerana para pemimpin UMNO dan pecacai mereka teramat benci
dengan DAP yang menyerlahkan kepincangan sistem pemerintahan yang
bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa, mereka sentiasa mencipta
dan menabur fitnah. Antara pembohongan itu termasuklah kononnya DAP
mahu menjadikan Malaysia negara Kristian.
Sebelum ini, DAP dituduh anti-hudud kerana bersifat sekular, apa pula
halnya dengan tuduhan mahu mengkristiankan negara? Bagaimana pula
perasaan ahli-ahli DAP yang beragama Hindu, Buddha dan mereka yang
beragama Islam? Maknanya yang buat fitnah itu pun tak begitu pandai
merencanakan propaganda jahat mereka.
Guan Eng, seorang Cina sebenarnya jauh lebih teguh akhlaknya
berbanding sesetengah pemimpin UMNO. Beliau rela dipenjara kerana
mempertahankan maruah dan harga diri seorang gadis Melayu yang didakwa
dicabul oleh seorang pemimpin Melayu. Beliau benar-benar serius
memerangi rasuah, salah guna kuasa, pencabulan hak asasi manusia dan
memperjuangkan keadilan – semuanya ciri-ciri mulia agama – tanpa
menggunakan alasan agama.
Baginya, semua agama mengajar kebaikan, menentang keburukan. Yang
berbeza hanya soal aqidah dan ritual serta hukum-hakam. Beliau
menganjurkan perpaduan hati berasaskan dasar bersama, yakni menentang
kezaliman serta menyeru kepada pemerintahan yang adil, bebas dan bersih.
Sedikit-sebanyak, itulah yang diamalkannya sebagai Ketua Menteri Pulau
Pinang.
UMNO, parti yang menolak hudud dan menghina Tok Guru Mursyidul Am PAS
Nik Aziz Nik Mat; sehingga kini masih terhegeh-hegeh mahu mengajak PAS
untuk berpadu, konon atas dasar agama dan semangat kemelayuan.
Namun PAS bukan bodoh. Ia nyatanya lebih selesa untuk duduk bersama
dengan DAP, meski parti pimpinan Guan Eng itu berbeza pandangan dalam
soal pelaksanaan hudud, ia tidak pula menghina hukum Islam seperti yang
dilakukan oleh sesetengah pemimpin BN.
Berani berlaku adil
DAP
Ia tidak punya tugas untuk menyebarkan kefahaman tentang hudud kerana
itu bukan agenda politiknya yang berpaksikan nilai-nilai sejagat,
termasuk keadilan sosial, hak asasi manusia, pembahagian kekayaan negara
secara adil, tolak korupsi dan lain-lainnya.
DAP juga tidak pula terancam dengan dunia Arab kerana ia ialah
kebangkitan rakyat menolak tirani dan kezaliman pemerintah diktator. DAP
yang tidak terasa terancam dengan kebangkitan itu pula tidak mengancam
Islam atau menolak Melayu. Sifat demokratiknya sentiasa membuka pintu
untuk semua dalam sifat inklusif yang mahu negara dibebaskan dari
belenggu kezaliman.
DAP tidak mengancam Islam. DAP tidak anti-Melayu. DAP tidak komunis.
Komunis juga tidak mengaku DAP komunis. DAP juga bukan parti cauvinis
Cina. Jika ya, maka Karpal Singh itu orang apa?
Apakah cauvinis Cina dalam DAP bermaksud M. Kulasegaran, Dr P.
Ramasamy, Ahmad Ton, P. Gunasekaran, John Fernandez, Leon Jimat Donald,
Dr Edwin Bosi, Zairil Khir Johari, Abdul Manan Razak, Tengku Zulpuri
Shah, V. Sivakumar dan banyak lagi?
Adakah kerana media massa yang dikawal oleh UMNO-BN menyebabkan ramai
orang tidak sedar bahawa ramai tokoh Melayu telah lama berjuang dalam
DAP seperti Allahyarham Mohd Nor Jetty, Ahmad Nor, Ibrahim Singgeh, dan
ramai lagi?
Tidak dinafikan DAP dan PAP Singapura berkongsi latar sejarah, tetapi
amat bodoh dan dangkal dakwaan bahawa kedua-duanya sama. Malah, Guan
Eng pada malam wacana tempoh ahri terang-terangan mengkritik PAP
Singapura kerana mengamalkan undang-undnag zalim tahanan tanpa bicara
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), membungkam dan menyekat kebebasan
bersuara.
Itu kata Guan Eng, secara bertentang mata, tanpa selindung-selindung.
Berani, tulus dan tegas. Malah, pada satu wacana lain, Dr Maszlee Malik
pernah menjelaskan bahawa jika DAP berada di Singapura hari ini, ia
akan menjadi pembangkang kepada PAP kerana PAP lebih mirip corak
pemerintahannya dengan UMNO-BN (walau pun amat sedikit amalan rasuah
dalam pemerintahan PAP).
Selagi media massa masih dikawal dan dikuasai oleh UMNO-BN, selagi
itu rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, akan terbenam dalam politik
perkauman dan agenda agama yang disempitkan sebagai senjata politik
pemerintah.
Atas nama kebebasan bersuara, tidak ada salahnya untuk bertanya
kepada DAP tentang hudud. Tetapi atas nama kebebasan dan keadilan,
beranikanlah diri untuk bertanya setiap detik, setiap hari kepada UMNO
dan BN tentang perkara yang sama.
Atau mungkin lebih baik lagi, sama-sama berjuang untuk menegakkan
keadilan atas dasar-dasar yang berteraskan demokrasi, hak asasi, peluang
saksama dan kedaulatan undang-undang, tanpa dikekang isu-isu yang
berniat mengalih perhatian daripada kebobrokan pemerintah.
–
Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.