Penemuan bijih besi di Kampung Gual Dalam, Bukit Kwong kira-kira 13
km dari sini menjadi sumber rezeki baru kepada penduduk tempatan.
Tidak pernah terfikir dan tiada dalam pengetahuan mereka tanah kebun
di kawasan tersebut mempunyai sumber galian yang bernilai tinggi.
Penemuan bijih besi juga menyebabkan harga tanah di kawasan tersebut meningkat kepada lebih RM100,000 seekar.
Galian itu ditemui pada 2010 di bahagian selatan Bukit Kwong. Di situ
terdapat hampir 80 ekar tanah milik penduduk disahkan mengandungi
bijih besi.
Di bahagian hilir pula baru ditemui galian tersebut kira-kira lapan bulan lalu. Kawasan terbabit seluas kira-kira 70 ekar.
Penolong Pengurus sebuah syarikat perlombongan, Halim Deraman
berkata, tanah yang mengandungi bijih besi sebahagian besar dimiliki
penduduk, di mana ada memiliki geran hak milik.
Katanya, tanah tersebut ditanam dengan getah dan lain-lain tanaman.
“Pemilik tanah sebelum ini memang tidak tahu tanah mereka mengandungi
bijih besi yang sangat berharga. Hanya setelah bijih besi ditemui
barulah mereka tahu tanah mengandungi logam besi.
“Hasil penemuan tersebut menyebabkan ada syarikat sanggup membayar
tanah dengan harga RM120,000 seekar,” ujar Halim ketika tinjauan
Harakahdaily bersama Adun Gual Periok, Mohamad Awang di lokasi
perlombongan baru-baru ini.
Antara syarikat yang menjalankan aktiviti perlombongan di kawasan tersebut termasuk Perfect Mining Sdn Bhd.
Halim berkata, bijih besi yang dilombong sekitar 4,000 ke 5,000 tan sehari.
Tanah-tanah yang mengandungi bijih besi disodok mengggunakan jentera
dan dibawa ke pelabuhan Tok Bali sebelum dieksport ke China.
Pada persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, kerajaan negeri
memberitahu bijih besi seberat 40,000 tan seminggu dihantar ke China.
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.