Mohon klik iklan 1X yer

6 July 2012

3 timbalan pendakwa raya di sapina

Tiga timbalan pendakwa raya dalam kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, disapina semalam bagi menjadi saksi dalam permohonan pihak pembelaan untuk membuang dua eksibit dalam kes itu.
  
Dua eksibit itu merupakan nota prosiding membabitkan kes dua saksi pendakwaan, U.Suresh dan K.Sarawanan, yang didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting atas kesalahan melupuskan bukti dalam kes pembunuhan itu.

Suresh, 28, dan Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka.

Terdahulu, Peguam Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh kedua, T. Thilaiyalagan mengemukakan permohonan untuk membuang dua dokumen berkenaan sebagai eksibit atas alasan ia tidak relevan dengan perbicaraan kes bunuh itu.

Peguam Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili tertuduh pertama, N.Pathmanabhan, pula berkata rasional tindakan pihak pendakwaan mengemukakan dua eksibit berkenaan di akhir kes pendakwaan sebelum ini adalah untuk mencabar kredibiliti Suresh dan Sarawanan yang didakwa berpaling tadah.

Manjeet berkata dua dokumen berkenaan dikemukakan di mahkamah 0leh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani dan mereka juga terlibat dalam prosiding kes membabitkan Suresh dan Sarawanan di Mahkamah Majistret Telok Datok.
  
"Oleh itu, saya meminta supaya ketiga-tiga DPP ini disapina dan dan saya memohon untuk ketiga-tiga orang ini untuk menarik diri daripada perbicaraan ini kerana ia adalah tidak beretika bagi mereka untuk terus mengendalikan perbicaraan ini," katanya.
  
Ishak berkata pihak pendakwaan memandang serius perkara itu dan memerlukan masa untuk menyediakan hujahan.
  
Saiful Edris menambah beliau pernah membangkitkan mengenai tindakan peguam Ravi Nekoo yang terus mewakili tertuduh ketiga, R.Matan, walaupun pernah dipanggil sebagai saksi pada salah satu prosiding bicara dalam perbicaraan sebelum ini.
  
Beliau berkata tindakan Ravi itu bertentangan dengan profesionalisme dan etika guamannya.

Manjeet berkata jika pihak pendakwaan berpendapat sedemikian, mereka sepatutnya mengemukakan aduan kepada Majlis Peguam.

Hakim Datuk Akhtar Tahir kemudian membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk mensapina tiga timbalan pendakwa raya berkenaan dan menetapkan Jumaat ini untuk hujahan kedua-dua pihak.
  
"Ada dua perkara saya perlu putuskan iaitu sama ada tiga timbalan pendakwa raya ini relevan untuk dipanggil sebagai saksi dan jika saya putuskan iarelevan, adakah mereka boleh terus berada dalam pasukan pendakwaan untuk kes ini," katanya.
  
Sementara itu, Ishak ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk mengetepikan permohonan pihak pembelaan pada Jumaat ini.
  
Bekas peguam Pathmanabhan, 43, dan tiga pekerja ladang, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan R.Kathavarayan, 32, diperintah membela diri atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
  
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
  
- Bernama

2 comments:

  1. Salam,
    Al-Fatihah untuk arwah-arwah yg dibunuh dlm kejadian tersebut!

    ReplyDelete
  2. Salam,
    Mudah-mudahan kematian wanita ini dan rakan-rakannya mendapat pembelaan yang adil!

    ReplyDelete

Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.