Mohon klik iklan 1X yer

13 June 2012

Tanah Rizab Melayu Kelantan diserah kepada keluarga cina


KOTA BHARU: Lot 305 Seksyen 1 Bandar Tumpat merupakan tanah rizab Melayu, tetapi anehnya mengapa pula dalam geran tertera nama bekas pemimpin BN, Datuk Foo Chow Yong.

Sedangkan kawasan itu diduduki penduduk Melayu sebelum air bah merah (sekitar 1925) iaitu ketika Kelantan berada di bawah pemerintahan Siam.

Namun generasi ketiga yang mendiami lot berkenaan sekarang diarah berpindah kerana cucu kepada Chow Yong dikatakan mahu membangunkan kawasan itu.

Inilah nasib yang menimpa 39 penduduk Kampung Masjid yang terletak di tengah-tengah pekan Tumpat. Di situlah mereka membesar dan menumpang berteduh dengan membina kediaman sendiri.
Dan setiap tahun sejak belum merdeka mereka membayar sewa sebanyak RM1 kepada wakil tuan tanah. Bayaran akhir pada 2007 antara RM10 hingga RM70 setahun, bergantung kepada saiz rumah.

Resit bayaran sewa itu masih disimpan sehingga ke hari ini, sebagai bukti mereka dibenarkan menumpang di atas tanah berkenaan.

Pada Mac lalu mereka menerima surat peguam yang mengarah mengosongkan tanah tersebut, tanpa sebarang perbincangan dibuat.

Jurucakap kumpulan penduduk terbabit, Azizah Ibrahim, 57 memberitahu penduduk begitu hairan tanah yang mereka duduki sejak berpuluh tahun lalu boleh bertukar menjadi milik pemimpin politik MCA.

“Datuk nenek kami memberitahu kalau hendak baiki rumah kena minta izin dengan tuan tanah dahulu. Begitu juga kalau hendak tebang pokok kelapa kena bayar antara RM50 hingga RM100 sebatang sebagai ganti rugi.

“Saya difahamkan lot 305 dikeluarkan geran atas nama Foo Chow Yong pada 1981 di atas tanah rezab Melayu yang didiami penduduk Melayu,” katanya ketika ditemui selepas berbincang masalah tersebut di pejabat peguam Hisham Fauzi di sini petang semalam.

Beliau bersama 38 lagi pemilik rumah di lot 305 datang beramai-ramai bagi menandatangani surat pelantikan peguam bagi mengendalikan kes berkenaan.

Pada 1981 Kelantan diperintah kerajaan Barisan Nasional (BN). Ada penduduk merumuskan geran dikeluarkan dengan mudah kepada pemimpin MCA terbabit kerana beliau juga merupakan anggota Exco kerajaan negeri ketika itu.

Semasa pilihanraya awal 1980-an, Chow Yong calon tunggal MCA menang di kerusi DUN Sungai Keladi, Kota Bharu kemudian dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri. 

Difahamkan dengan kedudukan sebagai wakil rakyat memudahkan pemimpin terbabit mengambil kesempatan memiliki tanah diduduki penduduk kampung.

Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim berkata, kemungkinan pemimpin terbabit menggunakan kedudukannya sebagai anggota Exco mendapatkan tanah bagi kepentingan peribadi dan keluarga tidak dapat dinafikan.

Azizah juga berharap kerajaan negeri dan pihak istana campur tangan bagi menyelesaikan masalah tersebut kerana kehidupan mereka terumbang ambing sekarang.

No comments:

Post a Comment

Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.