Mohon klik iklan 1X yer

28 June 2012

Rasuah membarah zaman Najib

Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat masih dibelenggu masalah rasuah di kalangan pemimpin Umno, berbeza dengan pentadbiran bapanya Tun Razak Hussein sekitar 1970-an.

Sarjana kontroversi Melayu Dr Kassim Ahmad berkata, rasuah di kalangan pemimpin Umno yang bermula di zaman perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad sudah membarah ekoran tiada tindakan tegas membendungnya.

"Mungkin terlampau ramai (terlibat). Jadi kalau diambil tindakan tegas, semua (pemimpin) sekali habis. Jadi dia (Najib) tidak berani. Ini masalah besarlah," kata bekas tokoh gerakan kiri yang menyertai Umno sehingga 1995.
Ketika diwawancara Malaysiakini di rumahnya di Kulim baru-baru ini, Dr Kassim juga berkata, selain kekuatanya yang sering turun padang, pentadbiran Najib juga mengalami masalah keberkesanan fungsi sektor awam yang didakwanya membazir dan "berat di atas".

"Perkhidmatan awam 1.4 juta (kakitangan), saya tak fikir demikian banyak kita perlu," katanya sambil berkata kira-kira 25 peratus tenaga kerja patut disalurkan ke bidang kritikal lain seperti pertanian.

"Kerap pejabat kerajaan di berat ke atas. (Ada) pengarah, timbalan ketua pengarah, pengarah kanan, pengarah kiri, top heavy. Kita boleh buang sebahagian daripada itu, kita boleh kurangkan pembaziran."

Ditanya tentang serangan persepsi terhadap Najib dan anggota keluarganya, Dr Kassim bagaimanapun melihat asakan pembangkang dalam hal itu tidak akan berjaya kerana ia bersandarkan "fitnah" Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kalau kita bersandar kepada (isu) Altantuya (Shaariibuu), ini berdasarkan (tuduhan) Anwar sendiri. Kalau ikut Najib sendiri, dia dah sumpah di masjid lama dah," kata Dr Kassim lagi.

Bagaimanapun, menurut Dr Kassim, ini diimbangi dengan kelebihannya memperkenalkan pelbagai program tranformasi, termasuk mensasarkan Malaysia sebagai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2020, menyelaraskan pembangunan luar bandar dan mempelopori gerakan wasatiah.

Ditanya sama ada semua kelemahan itu membolehkan Umno dan BN kehilangan Putrajaya dalam pilihan raya umum depan, Dr Kassim berkata, perkara itu mungkin tidak berlaku ekoran pembangkang juga tidak kuat.

"Dia (BN) dah ditumbangkan dalam beberapa negeri. Di Kelantan pun berapa lama. (Tetapi) PAS itu apa ada? Bukan ada apa sebab Melayu fanatik pada ulama. Feudal ulama ini dua kali lima," katanya.

Bagaimanapun, katanya. sekiranya pembangkang masih mempunyai seorang pemimpin hebat seperti Ahmad Boestamam, hasrat mereka itu tidak mustahil boleh menjadi kenyataan.

Menyentuh pentadbiran Razak, selain memastikan amalan rasuah tidak berlaku, Dr Kassim menyifatkan "bapa pembangunan" itu sebagai perdana menteri terbaik ekoran langkahnya melaksanakan banyak perubahan dasar.

"Kudeta pada (perdana menteri pertama) Tunku (Abdul Rahman) dan perubahan banyak dasar," kata Dr Kassim ringkas ketika ditanya apa lagi jasa-jasa Razak kepada negara ini.

Dalam perjalanan politik Dr Kassim, faktor Tunku memainkan peranan besar apabila berjaya membuatkannya pulang daripada mengajar di Universiti London bagi mengambil alih Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) daripada pejuang kemerdekaan Ahmad Boestamam.

"Marah pada Tunku saya balik buat PSRM, ambil alih dari Boestamam," katanya kepada Malaysiakini lagi.

Namun, kemarahan pada kerajaan itu mengendur apabila Razak dengan keterbukaannya yang cuba membawa masuk PSRM sebagai parti kompononen BN. Bagaimanapun usaha itu tidak berjaya apabila hasrat itu tidak berjaya disampaikan kepada Dr Kassim.

"Malangnya, Tun Abdul Razak meninggal dunia awal di London, kerana penyakit leukemia. Apabila saya mendengar berita ini, air mata saya tiba-tiba saja mengalir!" catatnya dalam memoir Mencari Jalan Pulang.

Sementara itu, bercakap tentang dua lagi bekas perdana menteri, Dr Kassim beranggapan kepimpinan Dr Mahathir walaupun dikritik hebat tetapi masih mempunyai lebih kebaikan daripada keburukan.

"Takkkanlah dengan 30 peratus keburukan berbanding 70 peratus kebaikan kita hendak salahkan Mahathir," katanya yang menyerahkan sendiri borang Umno kepada Dr Mahathir itu pada tahun buku kontroversinya Hadis: Satu Penilaian Semula diterbitkan.

Beliau juga berkata kelebihan perdana menteri paling lama yang "pragmatik" itu apabila mudah dibawa berbincang dan mempunyai pemikiran terbuka, walaupun terhadap musuhnya.

"Tengoklah dalam buku dia (autobiografi) Doctor in the House, masa depa nak buat itu, Anwar dok tepi dia, sambil dok bincang pasal Anwar. Begitu punya demokratik," kata Dr Kassim mengimbas kembali pemecatan Anwar pada 1998 oleh Dr Mahathir.

Manakala Abdullah, yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, pula dianggapnya paling lemah, tidak mempunyai watak atau idea yang tegas.

"Pak Lah ini orang tangkap gambar dia kebanyakannya dia sedang tidur semasa bermesyuarat," katanya.

Bagaimanapun, di sebalik semua kelemahan pemimpin Umno itu, Dr Kassim melihat masih terdapat tokoh-tokoh baru yang masih boleh menyelamatkan parti itu daripada karam seperti Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

"Tapi mereka harus belajar lagi. Mereka muda lagi. Mereka perlu sekurang-kurangnya sepuluh tahun lagi hendak sampai ke situ," katanya.

Dengan syarat, kata Dr Kassim lagi, ahli Umno perlu dikursuskan berhubung patriotisme Melayu dalam konteks patriotisme Malaysia, sejarah negara ini dan falsafah berdasarkan al-Quran.


Sumber: Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.