Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mengingatkan
peneroka-peneroka Felda jangan keliru dengan 'blue form' yang
dikeluarkan oleh Felda Global Venture Holding (FGVH) kepada mereka.
Menurut Presiden Anak Mazlan Aliman, FGVH telah membuat satu paksaan
di mana sehingga tengah hari ini peneroka akan menyerahkan 'blue form'
yang mereka terima.
Jelas Mazlan, gambaran yang diberikan seolah-olah peneroka akan
mendapat saham percuma seperti kakitangan awam, atau syarikat tertentu
apabila syarikat mereka dimasukkan ke bursa saham.
"Sebenarnya apa yang ditawarkan melalui 'blue form' itu adalah
merupakan lanjutan daripada borang saham yang diedarkan oleh bank
tertentu sebelum ini.
"Kita pun sudah buat injuksi untuk membatalkan borang saham sebelum
ini tetapi hari ini datang pula 'blue form'," katanya ketika menghubungi
Harakahdaily.
Bahkan katanya, peneroka hanya ditawarkan sekitar 800 unit saham
sahaja yang berharga RM4.55 seunit tetapi borang pinjaman sebelum ini
yang diterima peneroka memaklumkan bakal mendapat RM50,000 hingga
RM100,000.
Mazlan menyifatkan tindakan itu sangat mengelirukan dan menasihatkan para peneroka berhati-hati dengan tawaran ini.
"Kalau ia perjanjian jangan tanda tangan! Bila berlaku kegagalan
penyenaraian FGVH, saham akan jatuh, peneroka akan menanggung
akibatnya," katanya yang bertalu-talu menerima panggilan daripada
peneroka kerana kekeliruan itu.
Apa yang berlaku ini, beliau sifatkan kerajaan telah mengkhianati
peneroka Felda apabila mereka enggan berterus terang dengan peneroka .
"Dalam FGVH, kerajaan kena berterus terang sama ada benda ini adalah
pinjaman, katalah ia pinjaman! Jangan guna pelbagai tafsiran seperti
durian runtuh.
"Apabila mengetahui ia adalah durian runtuh, maka mereka pun tanda tangan lah sebab mereka hendak mendapatkan duit ini kerana kerajaan tidak berterus terang kepada peneroka," katanya.
Sumber: Harakahdaily
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.