Seolah-olah seperti mahu menandingi kehadiran besar di majlis ulangtahun ke-66 Umno di Bukit Jalil Stadium baru-baru ini, PAS berjaya menarik lebih 50,000 penyokongnya yang membanjiri perhimpunan parti itu malam tadi yang dikenali sebagai 'Himpunan Hijau ke Putrajaya'.
Semangat di kalangan hadirin begitu tinggi sekali seolah-olah Pakatan Rakyat baru sahaja memenangi pilihan raya umum ke-13, yang dijangka dipanggil pada bulan Jun atau tahun depan.
Gema laungan 'Takbir' berkemundang ke udara ketika para penyokong masuk membanjiri padang perhimpunan tersebut, manakala yang lainnya berpusu-pusu di luar Stadium yang hanya mampu menampung sehingga 35,000 orang.
Bermula dari jam 9 malam, Stadium Darul Aman dibanjiri lautan hijau apabila sebahagian besar hadirin memakai kemeja-T, Baju Melayu atau baju kurung warna tersebut sebagai tanda sokongan kepada perjuangan kumpulan alam sekitar, Himpunan Hijau.
Mereka mengibarkan bendera parti tanpa henti-henti, melaung dan bertepuk gemuruh setiap kali penceramah membuat kenyataan yang menarik.
Antara penceramahnya ialah Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Mohamed Sabu, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar, dan Pesuruhjaya PAS Negeri yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
PAS ikrar komitmen ke Putrajaya
Kemuncak acara tersebut ialah kemasukan beberapa personaliti terkemuka menyertai PAS - dua orang selebriti, enam pemain bola sepak, termasuk beberapa pemain kebangsaan, dan seorang profesor - Nik Mohd Zain Nik Yusuf.
Artis wanita, Wan Aishah Wan Ariffin, menitiskan air mata ketika menyampaikan ucapan penuh emosi apabila memberitahu hadirin bahawa dia baru sahaja menyertai parti Islam itu.
"Tetapi jangan lupakan kami apabila tiba di Putrajaya," katanya.
Tetapi kemuncak pada malam tadi mestilah kemunculan Pengerusi Bersama BERSIH dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said di majlis itu, di mana hadirin begitu teruja dengan deklamasi puisi untuk pemuda yang menurutnya akan akan memimpin jalan ke Putrajaya.
Ia diikuti dengan ikrar oleh ahli PAS untuk terus kukuh dan teguh dalam perjuangan mereka. Ikrar tersebut dibacakan oleh Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mustafa Ali.
'PAS tidak sendirian ke Putrajaya'
Sementara itu, kehadirin pada malam tadi adalah dua kali ganda daripada sebelah pagi dan petang tadi apabila PAS mengadakan sesi berasingan dengan penyokongnya - pada waktu pagi di ibupejabat parti itu di Kota Sarang Semut, dan pada waktu petang di stadium yang sama dengan Pemuda PAS.
Ribuan anggota Pemuda hadir pada kira-kira jam 4 petang walaupun dalam keadaan menempuh hujan lebat dan ribut petir untuk mendengar ucapan pemimpin mereka termasuk Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasharuddin Tantawi.
Apabila masuk waktu Asar, orang ramai bersolat di atas padang walaupun hujan.
Kemudian parti itu melancarkan maskot - animasi dua watak yang bernama 'Hadi dan Huda'- sebagai simbol Muslim yang baik.
Mengenai tema perhimpunan itu - Himpunan Hijau ke Putrajaya - Mahfuz selaku ketua jawatankuasa penganjurnya, memberitahu sidang akhbar di akhir acara itu bahawa ia tidak bermakna PAS menuju ke pusat pentadbiran negara itu secara sendirian.
Menurutnya, rakan-rakan gabungan perlu bekerjasama dan PAS akan menyumbang dalam apa cara yang boleh untuk mencapai matlamat bersama itu.
~Malaysiakini
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.