Mohon klik iklan 1X yer

28 April 2012

'Road block' ke pusat bandar KL

Polis mengadakan sekatan jalan raya di laluan utama menuju ke pusat bandaraya Kuala Lumpur menjelang perhimpunan BERSIH 3.0 di pusat bandar jam 2 petang hari ini.

Sekatan jalan raya itu dilaporkan di Ampang Lebuhraya Bertingkat, Jalan Tun Razak, Jalan Mahameru, Jalan Pudu, Jalan Bangsar dan Jalan Tun Sambathan.


Penganjur BERSIH 3.0 menasihatkan peserta datang awal dan menggunakan pengangkutan awam. Bagaimanapun, mereka diingatkan mengenai kemungkinan beberapa stesen kereta api di pusat bandar, terutamanya Masjid Jamek, Pasar Seni, Hang Tuah, KL Sentral dan KLCC, ditutup lewat hari ini.

Puluhan ribu dijangka turun ke jalan-jalan di Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan yang dikenali sebagai 'BERSIH 3.0' untuk menuntut, antara lain, reformasi pilihan raya dan peletakan jawatan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Satu perhimpunan spontan diadakan lewat malam tadi berhampiran Dataran Merdeka, yang berjaya menarik seramai 2,000 orang.


Peserta sedang berkumpul di enam lokasi utama, iaitu Jalan Sultan, Pasar Seni, Masjid India, Masjid Negara, Brickfields dan KLCC serta beberapa lokasi lain di sekitar ibukota.


Peserta BERSIH 3.0 di KLCC dijangka disertai penyokong Himpunan Hijau 3.0 yang akan terlebih dahulu berarak ke Suruhanjaya Tinggi Australia untuk membantah loji nadir bumi RM700 juta di Gebeng, Kuantan yang dibina oleh syarikat dari negara itu - Lynas - sebelum meneruskan perjalanan ke Dataran Merdeka.


Peserta sudah pun berkumpul pada jam 8 pagi di Jalan Sultan untuk menyokong rakaman video pra-perhimpunan menentang projek MyRapid Transit (MRT) yang akan melalui jalan bersejarah.


Semua peserta akan bergerak ke arah Dataran Merdeka, yang telah ditutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penghalang dan kawat duri bagi menghalang peserta berhimpun di situ.


Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamad Salleh mengumumkan semalam bahawa peserta boleh berkumpul di lokasi mereka tetapi melarang mereka daripada berarak.


Polis juga telah memperolehi perintah mahkamah melarang orang ramai memasuki Dataran Merdeka.


Semalam, penganjur BERSIH 3.0 berkata mereka akan mematuhi perintah mahkamah itu tetapi akan cuba berada sehampir mungkin dengan Dataran Merdeka dan masih berharap pihak polis akan membenarkan mereka mengadakan duduk bantah di dataran tersebut.

No comments:

Post a Comment

Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.