Mohon klik iklan 1X yer

27 April 2012

770 peneroka Pekan saman Felda RM442 juta

Khairil Abdul Rahim  

KUANTAN: Seramai 770 peneroka dari 8 tanah rancangan Felda Chini dan Chini Timur, Pekan memfailkan saman berjumlah RM442 juta terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhubung dakwaan berlaku penipuan dan penyelewengan Kadar Perahan Gred (KPG).

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuantan melalui peguam Ms Daim & Gamany semalam dengan menamakan Felda sebagai defendan pertama dan Felda Palm Industries Sdn Bhd. selaku defendan kedua.

Dalam kenyataan tuntutan, plaintif pertama Mohd Salleh Ishak, 54 dari Felda Chini 3 mendakwa, mereka sentiasa dibayar mengikut kadar perahan gred (KPG) yang lebih rendah daripada sepatutnya sejak 17 tahun yang lalu seperti yang dinyatakan dalam Akuan Penerimaan BTS.
Tuntutan saman itu diwakili lima peguam bela iaitu yang diketuai R. Sivarasa bersama T. Kumar, Latheefa Koya, Murnie Hidayah Anuar dan Md Afiq Md Noor. Kira-kira 100 peneroka turut membanjiri perkarangan mahkamah memberi sokongan. Turut hadir Pengerusi Biro Peneroka PKR, Suhaimi Said. (Gambar)

Sivarasa dalam sidang medianya selepas itu mengatakan, pihak mereka mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila kadar KPG sawit yang diterima peneroka tidak menyamai kadar lebih tinggi yang diperakukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Tambahnya, berdasarkan kes Mahkamah Persekutuan mengarahkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM11 juta kepada peneroka-peneroka Felda Kemahang, telah menghantar contoh hasil buah kelapa sawit mereka kepada tiga makmal bebas untuk menilai kadar sebenar KPG.

“Keputusan ujian makmal itu menunjukkan kadarnya ialah 31.5 % dan setelah diselaraskan peneroka percaya purata KPG tidak kurang daripada 27 %. Ini bermakna terdapat perbezaan purata 8.5 % yang digunakan oleh defendan kedua.

“Kami mempunyai bukti menunjukkan bahawa pada 2008, 770 peneroka dari 8 rancangan Felda Chini telah menghantar purata hasil 120 tan setiap seorang dan dibayar oleh Felda dengan purata harga RM560.

“Jadi dengan menggunakan angka kekurangan 8.5 peratus itu, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM257.60 setan, iaitu kira-kira RM30,912 bagi tahun 2008 sahaja. Justeru peneroka menganggap telah berlaku penipuan dan pecah amanah,” katanya.

Menurut Sivarasa, semua peneroka berkenaan mendakwa mereka terikat oleh Felda untuk hanya menghantar hasil kelapa sawit kepada Felda Palm Industries sahaja.

Dalam pada itu, peneroka mendakwa kilang Felda juga telah memotong buah sawit dengan kadar 200 kilogram sebulan tetapi tidak dikembalikan kepada mereka.

Dakwa mereka, ini membawa kerugian kepada mereka dengan kadar RM560 x 2.4 atau RM1,344 setahun bagi setiap peneroka atau RM14,333,760 bagi semua peneroka dalam tempoh 17 tahun.

“Ini bermakna dalam tempoh yang sama, Felda telah menyebabkan kerugian kepada 770 peneroka-peneroka ini sebanyak lebih RM442 juta,” kata Sivarasa.

Sebelum ini sudah terdapat peneroka di Felda Jengka, Bera dan Keratong di Pahang yang melakukan tindakan yang sama.

No comments:

Post a Comment

Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.