Majoriti kes keganasan rumah tangga ketika awal perkahwinan berpunca 
daripada perselisihan faham antara suami isteri yang mencatatkan 
sehingga 54 peratus daripada keseluruhan kes bagi tempoh 2007 sehingga 
Februari lepas.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk 
Heng SeaiKei berkata, faktor lain ialah kewangan, di bawah pengaruh 
alkohol, cemburu dan masalah anak-anak.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 
sepanjang tempoh itu sebanyak 18,124 kes dilaporkan iaitu 3,756 kes pada
 2007; 3,769 (2008); 3,643 pada 2009; 3,173 (2010); 3,277 (2011) dan 506
 kes untuk dua bulan pertama tahun ini.
Bercakap pada sidang media bersama mangsa keganasan rumah tangga di 
sini Selasa, Heng berkata, walaupun statistik menunjukkan trend 
mendatar, kementerian itu tetap memandang serius kes berkenaan.
"Justeru itu, kementerian telah melaksanakan program bersesuaian 
antaranya program 'Smart Start' yang telah dilaksanakan semenjak 2009 
demi memastikan segala mesej yang ingin disampaikan kepada pasangan yang 
ingin berkahwin atau yang sudah mendirikan rumah tangga tidak kurang 
dari lima tahun mendapat pengetahuan asas dalam institusi perkahwinan 
dan kekeluargaan," katanya.
Katanya, statistik PDRM juga menunjukkan kebanyakan mangsa keganasan 
rumah tangga adalah golongan wanita yang berusia lingkungan 26 hingga 35
 tahun, iaitu35 peratus daripada jumlah kes.
"Mereka yang melakukan keganasan rumah tangga ini juga kebanyakan 
berusia 26 hingga 35 tahun yang mana ada di antara mereka baru sahaja 
mendirikan rumah tangga," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan masih banyak kes keganasan 
rumah tangga yang tidak dilaporkan atas faktor budaya masyarakat timur 
yang konservatif serta malu dan tidak mahu hal rumah tangga diketahui 
umum.
Bagi memastikan pihak polis dapat membantu mangsa keganasan rumah 
tangga ini secara efektif, kementerian akan mencadangkan kepada PDRM 
untuk memasukkan silibus berkenaan cara untuk berhadapan dengan mangsa 
keganasan rumah tangga ini kepada pelatih polis, katanya.
"...mereka keluar bertugas kelak, mereka mempunyai kemahiran untuk 
menyelia kes seperti itu memandangkan kes tersebut merupakan kes yang 
sensitif dan membabitkan maruah," katanya.
Sementara itu, salah seorang daripada mangsa berusia 20-an yang 
enggan namanya didedahkan menceritakan pengalamannya dipukul suami 
sehingga mengalami kecederaan fizikal yang parah.
Katanya, dia menyedari suaminya penagih dadah selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 2010.
"Selepas saya melahirkan seorang anak, suami kerap memukul saya 
terutama sekali apabila dia berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol 
dan kami juga sering kali berselisih faham sehingga dia pernah mengugut 
saya untuk mengancam keluarga saya.
"Pada mulanya, saya berasa takut untuk membuat laporan polis tetapi 
selepas berfikir saya akhirnya membuat laporan polis," katanya.
Katanya, dia berkongsi pengalaman itu bagi mengelakkan lebih ramai wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga.  
-BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.