Mohon klik iklan 1X yer

23 March 2012

Titah Raja Nazrin - Kuantiti tidak bermakna sekiranya kualiti dipertikaikan.

judges conference 090408 raja nazrinPertambahan dari segi kuantiti pengamal undang-undang di negara ini tidak bermakna sekiranya kualiti mereka semakin banyak diperkatakan, titah Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah.

Baginda bertitah, sekiranya pengamal undang-undang gagal menangani cabaran, dugaan dan godaan secara bijak, reputasi mereka bukan sahaja boleh tercemar secara peribadi malah turut membawa aib terhadap profesion tersebut.

"Saudara saudari wajar mengambil iktibar akan kes salah laku yang melibatkan profesion peguam yang pernah berlaku. Amalkan segala nilai murni, etika dan peradaban yang telah diajar dan dipelajari selama ini.

"Etika amalan guaman berhubung perilaku dan ketrampilan seseorang peguam perlu dihayati, dipatuhi dan diamalkan sepenuhnya, tidak sekadar dihafal bagi tujuan menjawab soalan peperiksaan bagi memperolehi sekeping ijazah," titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-17 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Tahun 2011 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, hari ini.
Raja Nazrin bertitah pada tahun lepas seramai 373 calon telah lulus peperiksaan Lembaga Profesion Undang-Undang Malaysia serta memenuhi kriteria untuk dianugerahkan Sijil Amalan Guaman.
   
"Minat terhadap profesion undang-undang tidak pernah luntur, 942 telah diterima sebagai peguam bela dan peguam cara pada 2009, manakala bilangan diterima tahun lepas meningkat kepada 1,247 orang.

"Bilangan pengamal undang-undang di Malaysia turut meningkat daripada 12,800 pada 2009 kepada 14,050 pada tahun lepas. Ini menunjukkan profesion peguam terus menjadi pilihan popular," titah baginda.

Sementara itu, baginda bertitah setiap pihak yang terlibat dalam menentukan masa depan negara hendaklah sentiasa mengambil ingatan akan keunikan senario setempat.

"Ini terutamanya melibatkan faktor berkait langsung dengan sejarah, budaya, keselamatan negara, ketenteraman awam dan perpaduan warga yang tidak boleh sama sekali dikorbankan semata-mata atas nama liberalisasi.

"Acuan budaya setempat tidak harus sama sekali diketepikan hingga menyebabkan 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran'.


"Ahli politik di kedua belah pihak sama-sama mempunyai tanggungjawab nasional yang serupa demi menjamin sebuah kelangsungan negara yang aman, stabil  makmur dan sejahtera," titah baginda.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.