Sudah lebih 54 tahun
Umno memerintah negara kita ini, dan dengan perlaksanaan Dasar Ekonomi
Baru (DEB) yang bertujuan untuk meningkatkan daya saing dan kuasa
ekonomi orang-orang Melayu yang masih diamalkan sehingga ke hari ini.
Jadi kenapa pula Umno dan Perkasa sering melaung-laungkan yang
orang-orang Melayu sering dipinggirkan. Siapakah yang sebenarnya telah
meminggirkan orang-orang Melayu selama ini? Dan kenapa pula sudah lebih
54 tahun Umno memerintah dengan DEB untuk membantu masyarakat Melayu,
namum sehingga ke hari ini, orang-orang Melayu pada kebanyakan masih
hidup di dalam keadaan miskin dan daif? Kenapa sehingga ke hari ini, di
kebanyakan perkampungan masyarakat Melayu masih tidak mempunyai
kemudahan air, jalan dan elektrik di kawasan-kawasan tempat tinggal
mereka?
Kenapa pula dengan adanya Umno yang mendakwa dirinya jaguh Melayu,
masih terdapat orang-orang Melayu yang buta huruf, tidak dapat
menyambung pendidikan mereka ke peringkat yang lebih tinggi, ekuiti
pemilikan orang-orang Melayu di dalam sektor ekonomi masih jauh
ketingggalan walaupun terdapat sistem kuota yang melindungi mereka?
Selain daripada itu, ramai pula muda-mudi Melayu yang terjebak di dalam
kancah jenayah seperti lumba haram, gejala mat rempit, penagihan dadah,
ragut dan sebagainya.
Di dalam bidang politik pula, kenapa pula timbul beberapa parti
politik Melayu yang bukan Umno sedangkan Umno sering mendakwa diri
mereka pembela Melayu yang tulen? Jadi, adakah Umno ini benar-benar
jaguh Melayu dan sejauh manakah keberkesanan Umno ini sebagai jaguh
Melayu seperti yang didakwanya selama ini?
Skandal dan penyelewengan yang merugikan

Di sini kita paparkan beberapa jenis skandal dan penyelewengan yang
sememangnya telah banyak merugikan orang-orang Melayu selama ini:
- Skandal Bank Bumiputra Malaysia Bhd yang menyebabkan kematian,
- Penyelewengan saham di dalam Renong Bhd,
- Penyelewengan saham dan kerugian di dalam Sime Darby Bhd,
- Dana Felda yang hampir kosong dan boleh dikatakan telah muflis kalau bukannya suntikan dana baru oleh kementerian kewangan,
- Pemberian permit import kenderaan mewah kepada kroni-kroni Umno,
- Skandal komisen pembelian kapal selam Scorpene yang berakhir dengan kematian,
- Skandal dalam PSC-Naval Dockyard yang melihat kos pembinaan kapal-kapal perang meningkat secara mendadak,
- Kos pembinaan lapangan terbang KLIA 2 yang semakin meningkat dengan mendadak,
- Skandal upahan kepada FBC Media bagi mempromosi imej Najib dan Rosmah dengan pujian-pujian buatan sendiri,
- Kerugian berturut-turut Penerbangan Malaysia (MAS),
- Kerugian berturut-turut Perusahaan Otomobil Nasional (Proton),
- Skandal Port Klang Free Zone (PKFZ) yang mencatatkan kehilangan berbilion Ringgit,
- Kerugian pelaburan dalam Tabung Haji,
- Skandal kondo-lembu dalam National Feedlot Corporation Bhd (NFC),
- Pemberian pinjaman KWSP tanpa faedah kepada pembeli-pembeli rumah yang tidak layak mendapatkan pinjaman perumahan,
- Pemansuhan pembayaran balik pinjaman kepada KWSP oleh kementerian kewangan.
Dan jika dijumlahkan kerugian-kerugian yang dialami hasil daripada
skandal dan pelbagai bentuk penyelewengan di senarai ini, bukan sahaja
berbilion Ringgit, malah, jumlah yang bilangan angka yang lebih daripada
berbilion Ringgit.
Jika sekiranya jumlah wang tersebut digunakan dengan cara yang telus,
cekap dan jujur, sudah tentu jumlah tersebut akan mencukupi bagi
membantu dan memanfaatkan masyarakat Melayu pada keseluruhannya dalam
apa jua bentuk, tidak mengira, pendidikan, ekonomi ataupun sosial.
Kontrak bumiputra dimonopoli Umno
Mengikut polisi-polisi yang ditetapkan di dalam DEB, kontrak-kontrak
kerajaan hendaklah diberikan kepada kontraktor-kontraktor bumiputra yang
berkebolehan dan berkelayakan mengikut kelas-kelas yang akan
ditetapkan.
Akan tetapi, orang-orang Melayu biasa selama ini tidak pernah
diberikan kontrak-kontrak sepertimana yang ditawarkan mengikut
perlaksanaan DEB, kerana hampir kesemua jenis kontrak yang ditawarkan
telah dan sedang dimonopoli oleh kroni-kroni Umno yang kebanyakan
terdiri daripada kalangan ketua-ketua bahagianUmno, ketua cawangan Umno,
ahli-ahli jawatankuasa bahagian dan cawangan Umno, ahli-ahli majlis
perbandaran, ahli-ahli JKKK, ahli-ahli parlimen serta ahli-ahli dewan
undangan negeri Umno.
Oleh itu, adakah orang-orang Melayu biasa dapat menerima
kontrak-kontrak kerajaan yang selama ini dimonopoli secara terus oleh
para pemimpin Umno ini? Sudah tentunya tidak. Dan jikalau mereka-mereka
ini inginkan kontrak daripada kerajaan, mereka dikehendaki mengisi
borang untuk menjadi ahli Umno terlebih dahulu, dan kemudiannya
bertanding merebut jawatan dalam parti. Kalau menang boleh mendapat
habuan, tetapi kalau kalah, apa pun tak dapat.
Sementara di kalangan ketua-ketua bahagianUmno, ketua cawangan Umno,
ahli-ahli jawatankuasa bahagian dan cawangan Umno, ahli-ahli majlis
perbandaran, ahli-ahli JKKK, ahli-ahli parlimen serta ahli-ahli dewan
undangan negeri Umno ini menjadi kaya raya, maka gelaran “bumiputra”
digunakan dalam umum yang kononnya ada banyak orang-orang Melayu yang
telah berjaya di dalam bidang ekonomi tetapi sebenarnya hanya
kroni-kroni Umno sahaja yang berjaya menjadi kaya-raya sementara
orang-orang Melayu biasa masih miskin, tidak maju dan terpinggir.
Siapakah meminggirkan siapa?
Persoalan yang masih hangat didengar pada hari ini, adalah menurut
Umno dan Perkasa, orang-orang Melayu sering dipinggirkan, terutamanya
di negeri Pulau Pinang yang dahulunya diperintah oleh Parti Gerakan di
bawah Barisan Nasional (BN), di mana bekas ketua menteri Dr Koh Tsu Koon
seringkali dituduh meminggirkan masyarakat Melayu, dan apabila Pakatan
Rakyat yang dipimpin oleh DAP mula memerintah Pulau Pinang, ketua
menteri sekarang, Lim Guan Eng pula dituduh meminggirkan masyarakat
Melayu dengan pemerintahan “kejam”nya.
Kerajaan negeri Pulau Pinang dilabel oleh Umno dan Perkasa sebagai
kerajaan Cina Pulau Pinang, sementara kerajaan negeri Perak (sebelum
Februari 2009) dilabelkan sebagai kerajaan boneka Cina Perak, manakala
kerajaan negeri Selangor sering dicapkan sebagai kerajaan pengkhianat
bangsa Melayu dan bermacam-macam lagi gelaran yang berunsurkan
perkauman.
Soalannya adalah siapakah yang sebenarnya meminggirkan masyarakat
Melayu selama ini? Parti Gerakan yang telah memerintah Pulau Pinang
bersama dengan Umno sejak dari 1969 sehingga 2008, orang-orang Melayu
masih terpinggir, Umno yang memerintah negeri Perak dan Selangor sejak
dari tahun 1957 hinggalah 2008, masyarakat Melayu juga masih terpinggir,
Umno yang telah menjadi tunggak utama di dalam kerajaan persekutuan BN
sejak daripada 1957 sehingga sekarang dan punyai kuasa yang amat meluas
untuk melaksanakan pelbagai jenis pembangunan didokong penuh pula dengan
DEB, tetapi orang-orang Melayu masih dipinggirkan menurut Umno dan
Perkasa.
Siapakah yang memerintah negara ini dan beberapa buah negeri selama
ini, sebelum wujudnya Pakatan Rakyat? PKR dan DAP yang baru sahaja
mengambil-alih tampuk pemerintahan beberapa buah negeri pada tahun 2008
telahpun dituduh mengkhianati dan meminggirkan orang-orang Melayu, Umno
telah memerintah lebih daripada 54 tahun, lebih lama daripada mana-mana
parti di negara ini dan masyarakat Melayu masih juga terpinggir, hidup
dalam keadaan daif, tercirir dalam arus pendidikan dan pembangunan.
Ya, yang telah menjadi kaya-raya, mendapat jumlah wang dan harta yang
banyak hanyalah orang-orang Umno sahaja, bukannya orang-orang Melayu.
Orang-orang Umnolah yang selama ini telah meminggir dan merosakkan
kredibiliti masyarakat Melayu pada keseluruhannya.
malaysia-chronicle.com
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.