Mohon klik iklan 1X yer

29 March 2012

Adakah Ketaksuban Terhadap Kebendaan Lahirkan Penjenayah?

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah melabelkan ketaksuban terhadap kebendaan dalam kalangan masyarakat merupakan satu daripada elemen yang melahirkan penjenayah.

Beliau berkata memiliki rumah lebih besar, kereta mahal, kerjaya yang mempunyai masa depan cerah, dan mempunyai banyak wang merupakan antara benda yang paling diimpikan, yang tanpanya seseorang itu akan dilabelkan sebagai "kurang berjaya" dalam masyarakat.


"Namun, adakah semua orang mempunyai daya dan upaya untuk mencapai semua itu? Sesetengahnya ya dan sesetengahnya tidak! Apa akan berlaku kepada mereka yang tidak ada daya dan upaya untuk mencapai semua itu?" katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ahli kaji jenayah dan saintis sosial kurang menonjolkan kepada masyarakat akan hakikat ketaksuban terhadap kebendaan dalam masyarakat boleh melahirkan penjenayah.

Tun Hisan berkata masyarakat, menerusi media, terlalu banyak disogokkan dengan mesej bahawa matlamat hidup ialah memperoleh keseronokan sensual dan bahawa kejayaan dalam hidup bergantung kepada pemerolehan objek-objek kebendaan yang membolehkan untuk mendapatkan keseronokan itu.


Tun Hisan berkata kebanyakan jenayah adalah secara langsung atau tidak langsung berhubung kait dengan cubaan untuk mendapatkan kepuasan.


"Daripada kecil lagi, ibu bapa kita dan masyarakat akan memupuk diri kita supaya kita berusaha untuk menjadi "pengawal" dan "menikmati" semua yang kita dambakan. Kita dijanjikan bahawa "kuasa" itu adalah jalan kepada kebahagian.


"Seorang itu berpotensi menjadi penjenayah dengan hanya memberikan respons kepada kata-kata ibu dan bapa iaitu "Jika anda cemerlang, anda akan berjaya dan menjadi kaya" dengan cara terbaik yang diketahuinya.


"Oleh kerana tiada apa yang mampu memuaskan hati kita, kita akan sentiasa berasakan yang kita perlukan lebih lagi, kita secara fitrahnya mahu memenuhi kehendak kita, serupa dengan orang paling miskin mahu menjadi orang terkaya.


"Kita mempunyai penjenayah daripada semua peringkat pendapatan. Orang miskin melakukan jenayah supaya mereka boleh miliki apa yang mereka fikir mereka perlukan. Orang kaya melakukan jenayah juga dengan motif serupa. Penjenayah jalanan merompak orang supaya dia boleh membeli dadah. Golongan korporat merompak syarikat supaya dia boleh membeli 50,000 hektar lagi tanah," katanya.


Beliau berkata sebenarnya jumlah penjenayah kaya dengan penjenayah miskin adalah sama banyak, yang menolak teori kebendaan iaitu punca jenayah adalah kemiskinan.


"Masyarakat kita yang mementingkan kebendaan pada zaman ini mengajar kita bahawa kekayaan dan kuasa adalah matlamat hidup, tanpa mengira bagaimana kekayaan itu diperoleh.


"Lagi kaya dan berkuasa kita, lebih berjaya kita. Mereka yang tidak memiliki semua itu akan dianggap gagal dalam hidup.


"Untuk mencapai status yang dikatakan itu, kita mungkin terbabit dalam aktiviti haram. Dengan kata lain, kita sendiri mungkin menjadi seorang penjenayah," katanya.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.