Oleh - Abdul Ghalib Yunus, Munsyi
Dewan
Apakah penjodoh bilangan yang sesuai untuk kerang?
Seketul kerang, sebiji kerang atau seekor kerang? Terima kasih.
Setiap benda yang konkrit dalam bahasa Melayu
lazimnya mempunyai penjodoh bilangan. Begitu jugalah halnya dengan `kerang’.
Untuk menggunakan atau meletakkan penjodoh bilangan pada sesuatu perkataan,
beberapa perkara perlu diambil kira. Pertama, kita mestilah megambil kira
bentuk dan keadaan benda tersebut semasa kita memperkatakannya. Sebagai
contohnya, jika `kerang’ itu berbentuk seperti ketulan dan tidak bergerak, kita
boleh meletakkan penjodoh bilangan `ketul’, iaitu `seketul kerang’. Jika ukuran
`kerang’ tersebut sebesar guli, kita boleh menggunakan penjodoh bilangan
`biji’, iaitu sebiji kerang. Jika kita melihat kerang itu bergerak-gerak di
dalam laut, kita boleh menggunakan penjodoh bilangan `ekor’, iaitu `seekor
kerang’.
Jika `kerang’
tersebut melekat-lekat antara satu dengan yang lain dalam bentuk `gugus’, maka
penjodoh bilangan yang boleh kita gunakan ialah `segugus kerang’. Namun
demikian, dalam kehidupan seharian, kita sering menggunakan penjodoh bilangan
`mangkuk’ jika kerang itu diletakkan di dalam mangkuk seperti `semangkuk
kerang’. Jika `kerang’ tersebut diletakkan di dalam pinggan, kita akan
menggunakan penjodoh bilangan `pinggan’, iaitu `sepinggan kerang’. Dari segi
berat pula, kita akan menggunakan penjodoh bilangan `kilogram’ seperti `dua kilogram
kerang’.
Kesimpulannya,
perkataan `kerang’ mempunyai penjodoh bilangannya. Namun demikian, kita tidak
boleh membuat ketetapan khas tentang penjodoh bilangan bagi `kerang’. Hal ini
dikatakan demikian kerana penjodoh bilangan untuk `kerang’ ada pelbagai.
Penjodoh bilangan yang sesuai untuk kerang bergantung pada keadaan bentuk
`kerang’ atau keberadaan kerang seperti di dalam mangkuk, di dalam laut atau
untuk timbangan atau sukatan. Penggunaan perkataan `semangkuk’, `sepinggan’,
`sekilogram’, dan sebagainya lebih kepada sukatan, bukan penjodoh bilangan
tetapi boleh berfungsi sebagai penjodoh bilangan.
Sumber: http://agy7500.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.