Beberapa penganalisis politik berpendapat pakatan pembangkang perlu akur dan menerima secara terbuka apa juga keputusan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam memuktamadkan perkenan baginda siapa menteri besar baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata krisis politik Selangor yang pakatan pembangkang sendiri cetuskan itu perlu dihentikan demi kelangsungan pembangunan di Selangor.
"Mereka harus menghormati keputusan muktamad sultan, sudah pasti sultan mahukan seorang menteri besar berkaliber, mampu membangun dan menerajui Selangor," kata pensyarah Geo-Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu kepada Bernama.
Khamis lepas, Istana Selangor mengesahkan Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan pada Selasa ini di Istana Alam Shah, Klang, bagaimanapun nama menteri besar baharu itu tidak diumumkan lagi.
Bernama difahamkan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamad Azmin Ali dan Adun Cempaka Iskandar Abdul Samad adalah calon yang dikatakan bakal mengangkat sumpah jawatan tertinggi pentadbiran negeri Selangor itu.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata krisis pakatan pembangkang di Selangor akan berakhir jika mereka benar-benar menerima pilihan sultan kelak.
"Namun, jika nama itu tidak serasi dengan apa yang dikehendaki oleh DAP dan PKR maka ia boleh meneruskan lagi krisis kepimpinan MB Selangor.
"Contohnya Azmin dipilih, krisis dalaman PKR dilihat akan masih berlaku kerana mereka mahukan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (menjadi MB Selangor).
"Jika Iskandar pula dipilih, maka ia juga menimbulkan masalah dalaman PR kerana Selangor hanya mahu ditakluk oleh PKR.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr. Zainal Kling membayangkan situasi di Selangor tetap akan tegang selepas lantikan menteri besar baharu itu nanti.
"Rakyat Selangor ada yang menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ada juga menyokong Azmin, jadi ini akan melahirkan keadaan yang berpecah-belah," katanya.
Zainal berkata masalah lain juga akan timbul sekiranya Iskandar dilantik menjadi menteri besar yang baharu kerana tidak mendapat sokongan dari satu lagi rakan sekutu parti itu, iaitu DAP mahupun PKR.
"Ini kerana DAP dan PKR pastinya tidak mahu PAS berkuasa di situ," katanya.
Krisis politik Selangor tercetus selepas 'Langkah Kajang' yang dimulakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Mac lepas yang bertujuan menjadikan Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor yang baharu.
Bagaimanapun, hasrat Anwar terbantut selepas gagal menjadi calon kerusi DUN Kajang apabila mahkamah mendapati beliau bersalah atas pertuduhan liwatnya, lalu isterinya yang juga Presiden PKR bertanding dan memenangi kerusi DUN itu.
Pada 9 Ogos lepas, PKR memecat Abdul Khalid daripada parti itu dan merancang untuk mengangkat Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor yang baharu.
- Bernama
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.