Mohon klik iklan 1X yer

17 November 2013

Bodoh mudah terjebak ajaran sesat

Usah terpengaruh ajaran baru yang meragukan


Isu ajaran sesat bukan perkara asing namun, masih ramai kalangan umat Islam yang begitu mudah terjebak dengan fenomena ajaran sesat. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyenaraikan sebanyak 125 kumpulan ajaran sesat yang bertapak di negara ini. 


Kekeliruan mengenai ajaran sesat menyebabkan berlaku tuduh menuduh hingga ke tahap mempertikaikan akidah dan pegangan masing-masing. Menyedihkan, pendukung ajaran sesat berjaya mempengaruhi masyarakat sekeliling untuk bersama meneruskan kegiatan mereka yang sesat itu.  
  • Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara jika kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat, buat selama-lamanya; iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya" Hadis riwayat Imam Malik

Lebih daripada itu, pendukung ajaran sesat sanggup menuduh serta melabelkan orang beriman yang tidak bersama mereka sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran yang sebenarnya. 


Jahil makna iman, Islam

Kemelut ajaran sesat berlaku apabila kejahilan terhadap ajaran Islam sebenarnya masih lagi menunjangi ruang lingkup kehidupan umat Islam. Mereka jahil mengenai makna iman dan Islam sebenarnya yang menuntut ketundukan serta kepatuhan semata-mata kepada Allah SWT.

Mereka juga tidak arif batas iman dan Islam yang menghampirkan mereka ke sempadan kesesatan. Mereka tidak menyedari amalan kurafat dan ajaran sesat bertentangan dengan Islam dan boleh menjerumuskan seseorang ke dalam kancah kekufuran yang dilaknati Allah SWT. 


Kejahilan menyebabkan jiwa kosong daripada nilai kerohanian dan agama. Mungkin disebabkan itu berlaku penolakan terhadap agama ditambah pula sifat kagum dengan pencapaian sains dan teknologi.

Mereka meyakini sains boleh mencapai segala apa yang mereka ingini. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah kegagalan sains dan teknologi dalam memenuhi tuntutan kerohanian manusia. Oleh itu, jiwa manusia kosong dan meluap-luap cuba mencari erti hidup.


Ekstrem mencari agama

Maka terjadilah apa yang dikatakan sebagai ledakan kerohanian. Apabila kekosongan jiwa berlaku, seseorang itu akan cuba mencari apa saja untuk memenuhi jiwanya melalui dua cara yang ekstrem, ekstrem mencari agama atau ekstrem mencari keseronokan hingga terjebak penagihan dadah dan arak.

Fitrah manusia yang mahu beragama dan ingin mencari kebenaran menyebabkan ramai mudah terjebak dengan ajaran sesat. Kejahilan menyebabkan mereka terkeliru serta membuat pertimbangan yang salah apabila berdepan antara kebenaran dan kebatilan.
Setiap ajaran sesat mempunyai ciri dan daya tarikan yang mampu menimbulkan minat serta sukar ditolak oleh mereka yang menjadi sasarannya. Satu daripada daya tarikan ajaran sesat ialah ciri mudah dan ringan yang ada padanya. 


Ajar pengikut lepas tanggungjawab agama

Kebanyakan ajaran sesat di Malaysia umumnya mengajarkan bahawa amalan berat yang mesti dilakukan dalam ajaran Islam sebenar tidak perlu dilakukan iaitu sudah cukup dengan berniat saja. Dengan demikian, ajaran sesat itu melepaskan pengikutnya daripada tanggungjawab agama seperti solat lima waktu, puasa, zakat dan haji.

Kerahsiaan adalah antara ciri utama terdapat pada sesuatu ajaran sesat. Dalam hal ini, apabila seorang guru atau pemimpin ajaran sesat berjaya menarik seorang pengikut, maka pengikutnya itu diminta bersumpah setia tidak akan membocorkan rahsia ajaran dan kumpulannya kepada orang lain.

Malah, mereka juga akan bersumpah taat setia kepada guru atau pemimpin yang mereka yakini sebagai berkuasa mutlak, suci dan penyelamat umat. Imej rahsia inilah yang memudahkan pergerakan ajaran sesat dan menyukarkan pihak berkuasa mengesan serta mencari bukti.

Pada masa sama, kerajaan sewajarnya berganding bahu dengan ulama dalam menguatkuasakan undang-undang Islam bagi membanteras gejala ajaran sesat dan amalan khurafat.

Setakat ini hukuman yang dikenakan iaitu denda RM5,000, penjara tiga tahun dan enam sebatan kepada pemimpin atau pengamal ajaran sesat, kurang setimpal dengan kesalahan jenayah akidah serius yang mereka lakukan. 


Wajar kenakan hukuman berat

Hukuman lebih keras dan penggubalan akta murtad perlu bagi membanteras penyebaran ajaran sesat yang semakin meruncing. Enakmen jenayah syariah negeri juga wajar diseragamkan bagi membanteras jenayah itu.

Di samping itu, ketiadaan unit khusus berkaitan pemurnian akidah dan ajaran sesat di bawah seliaan bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam, kekurangan kakitangan, prosedur tindakan yang mengambil masa panjang menyebabkan jenayah ini sukar dibanteras.

Umat Islam perlu berhati-hati dengan penyebaran ajaran sesat dan menghindarkan diri daripada aktiviti atau kegiatan berunsur keagamaan yang meragukan. Jika terdapat kekeliruan, dapatkan pandangan pihak berkuasa.

Masyarakat Islam di negara ini juga perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah serta mendalami mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jangan terlalu mudah terpengaruh dengan ajaran baru yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.
  • Rasulullah SAW bersabda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara jika kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya; iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Imam Malik)

No comments:

Post a Comment

Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.