Berita baik ialah pemansuhan dua kutipan tol sepanjang Lebuh Raya
Cheras-Kajang, mengurangkan kos pengguna sebanyak 50 peratus. Berita
kurang baik ialah tiada siapa tahu sama ada ia kerajaan Barisan Nasional
akan mengadakan perjanjian baru dengan syarikat pengutip tol tersebut
atau konsesi mana yang akan dilanjutkan.
Justeru, Pembantu Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching mahu Datuk
Seri Najib Razak menjelaskan kepada rakyat secara telus sama pemansuhan
kutipan tol itu akan:
- Mengakibatkan satu lagi perjanjian konsesi antara Kerajaan Persekutuan dan syarikat pengutip tol;
- Menyebabkan konsesi akan dilanjutkan; dan
- Memberikan pampasan kepada syarikat konsesi yang terlibat.
Menurut Teo, pada 19 September 1995, perjanjian konsesi telah
ditandatangani di antara Grand Saga Sdn Bhd dan Kerajaan Malaysia,
memberikan hak eksklusif dan kuasa untuk Grand Saga untuk mengurus,
mengendali dan menyenggara lebuh raya bagi tempoh 30 tahun.
Walau bagaimanapun, katanya, pada tahun 2002, tempoh konsesi Lebuh
Raya Cheras-Kajang telah dilanjutkan kepada 2027 berikutan semakan
semula kenaikan kadar tol yang dijadualkan. Untuk itu, Grand Saga telah
menerima pampasan daripada Kerajaan.
Pada tahun 2003 dan 2004, kerajaan membayar Grand Saga pampasan
sebanyak RM104.93 juta, selain daripada mengecualikan faedah ke atas dan
pembayaran balik pinjaman sokongan RM59 juta yang diberikan kepada
pemegang konsesi.
Pada tahun 2011, kerajaan telah melanjutkan tempoh konsesi kepada
2030 berikutan pembukaan jalan masuk yang menghubungkan Bandar Mahkota
Cheras dan Bandar Tun Hussein Onn.
Jumlah kutipan pendapatan untuk Lebuhraya Cheras-Kajang sehingga 31
Disember 2010 adalah RM585.5juta dan kos penyelenggaraan pula
RM147.31juta, manakala kos pembinaannya pula RM282juta.
“Perdana Menteri harus berhenti menjadi Santa Claus dan harus jujur
pada semua rakyat Malaysia, iaitu sama ada pemansuhan dua plaza tol ini
akan menyebabkan penyambungan tempoh konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang
atau pun pampasan akan dibayar kepada Grand Saga Sdn Bhd,” kata Teo yang
juga Ahli Parlimen Serdang.
Katanya, rakyat tidak boleh membenarkan Najib menggunakan taktik itu
untuk memancing undi kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.
“Rakyat berhak untuk mengetahui maklumat tentang ‘persefahaman’ kerajaan dan Grand Saga,” ujarnya.
– Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.