“Saya
tetap Melayu Islam”.
Walaupun saya seorang yang suka berfesyen dan mengayakan pelbagai jenis
pakaian, saya tetap mengutamakan batasan budaya dan agama dalam apa juga
perkara dilakukan, malah tidak pernah terjebak dengan aktiviti sosial atau
budaya negatif ‘mat salleh’.
“Sebagai
umat Islam saya tetap bersolat lima waktu dan setiap malam Jumaat, saya membaca
surah Yasin bagi mendapat petunjuk dalam pelajaran dan keberkatan hidup,” kata
pelajar genius Nur Amalina Che Bakri, 23, ketika menjelaskan kontroversi
laporan sebuah blog mengatakan dia seorang suka bersosial dan gagal dalam
pelajaran serta pulang ke Malaysia secara senyap-senyap.
Nur
Amalina atau lebih manja dengan panggilan Ina, ditemuramah menerusi sidang
video ‘Skype’ selama hampir 45 minit bermula kira-kira jam 5.30 petang di rumah
ibunya, Sabariah Hassan, 52, di Taman Sri Saujana di sini, semalam.
Malah, gadis
pintar itu masih merendah diri dan berharap rakyat Malaysia terus menyokong dan
mendoakan kejayaannya walaupun selepas penyebaran fitnah mengenainya itu.
Dalam temu bual
yang dilakukan dalam bahasa Melayu, Ina meminta orang ramai tidak mudah percaya
dengan apa disebarkan dan jangan menghukum seseorang berdasarkan perwatakannya.
“Memang ini
diri Ina yang sebenar, Ina suka bergaya serta berfesyen dan ia bukan perkara
baru, malah dilakukan sejak kecil lagi, mungkin timbul salah faham berikutan
penampilan di khalayak seperti di sekolah atau majlis rasmi sebelum ini kerap
bertudung sedangkan di rumah atau bersama keluarga, Ina tidak (bertudung).
“Ibu Ina
sendiri tidak pernah melarang hobi Ina, malah membelikan pelbagai pakaian
berfesyen untuk dipakai dan tidak mungkin seseorang ibu akan membelikan pakaian
tidak senonoh untuk anaknya sendiri.
“Terima kasih
kepada ibu kerana memberikan didikan agama yang lengkap sebagai bekalan sebelum
berangkat ke United Kingdom (UK) bagi melanjutkan pelajaran, syukur sepanjang
lapan tahun di sini pesanan itu masih kuat dan segar dalam ingatan,” katanya.
Nur Amalina
berkata, berita negatif itu diibaratkan sebagai serangan peribadi yang tersebar
di Internet namun sedikitpun tidak menjejaskan tumpuan pada pelajaran,
sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus berjaya kerana sudah lali
dengan tohmahan pelbagai pihak. Dia juga berharap pihak berkenaan membuang
gambar disiarkan sebelum ini dan menganggapnya sebagai perkara peribadi namun
disiarkan kepada umum melalui Internet tanpa kebenarannya.
Tidak mudah
melatah dengan berita negatif itu, Nur Amalina sebaliknya berkata, individu
berkenaan mungkin berniat baik, tetapi cara penyampaian digunakan tidak betul
hingga menyentuh sensitiviti pihak lain.
“Selain itu,
pihak terbabit diharap memahami maksud ‘bersosial’ dengan lebih mendalam dan
berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan atau andaian.
“Jika bersosial
bersama rakan untuk melepaskan tekanan, rasanya itu tidak salah kerana pada
masa sama saya tetap berpegang teguh pada ajaran agama dan tahu batasannya.
Saya bukannya melakukan perkara melalaikan atau terjebak dengan kelakuan
negatif seperti berfoya-foya atau maksiat sedangkan sepanjang di sini saya
lebih banyak meluangkan masa di perpustakaan untuk mengulang kaji. “Tidak
dinafikan itu adalah gambar saya, tetapi ia dirakam ketika Ina keluar
bersiar-siar dengan rakan untuk melepaskan tekanan belajar dan bagi mereka yang
pernah belajar di sini, mungkin mereka faham bagaimana susahnya berada di
negara asing dengan jadual padat sedangkan semua insan memerlukan rehat.
“Memang Ina
terkilan selepas membaca dan melihat gambar disiarkan…mungkin itu adalah
nasihat kepada Ina, tetapi jika berniat baik gunakanlah cara betul dan bukannya
menyiarkan perkara berunsur negatif,” katanya.
Nur Amalina turut
mengaku kerap menghabiskan masa antara empat dan lima jam setiap hujung minggu
bermain luncur ais dan boling bersama rakan sekuliah.-hmetro
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.