PEMBERIAN baucar buku daripada kerajaan untuk pelajar Institusi
Pengajian Tinggi (IPT) berjumlah RM200 seorang adalah bagi menampung
perbelanjaan dan mengurangkan bebanan sara hidup ibu bapa serta pelajar
tersebut.
Hasrat murni kerajaan itu bagaimanapun kini dimanipulasikan oleh
pelbagai pihak, baik pihak kedai buku mahupun pihak institusi pengajian
tinggi itu sendiri.
Pihak institusi (tenaga pengajar) mahukan pelajar membeli buku bacaan
atau rujukan pihak institusi itu sendiri dengan harga sebagai contoh
RM80. Baucar yang diberi kerajaan adalah dalam bentuk RM50 sekeping.
Untuk membeli buku berharga RM80 ini, pelajar harus membayar dengan
menggunakan dua keping baucer RM50 dengan jumlah RM100. Pihak institusi
tidak akan membayar balik baki wang tersebut dan untuk membeli buku lain
tentunya jumlah tersebut tidak memadai.
Di sini pelajar kerugian RM20. Pihak institusi atau pensyarah yang
berkenaan mengaut keuntungan sebanyak RM20 daripada seorang pelajar.
Berapakah jumlah keuntungan diperolehi pihak institusi dan pensyarah
dengan jumlah pelajar yang ada?
Di satu pihak lagi, kedai kedai buku menawarkan kepada pelajar wang
tunai sebanyak RM100 bagi pertukaran empat keping baucar RM50 tersebut.
Perbuatan ini dan pelbagai lagi cara boleh diambil oleh pihak ketiga
bagi mengaut keuntungan mudah di atas pemberian kerajaan.
Pihak kementerian berkenaan dan badan-badan bertanggungjawab harus
memandang serius perkara ini dan pihak kerajaan boleh mencari alternatif
lain dalam pengagihan bantuan kepada pelajar IPT.
Rasanya tidak salah jika terus diberi secara tunai kepada semua
pelajar IPT bagi tujuan membeli buku bacaan ata rujukan mereka. Jika
mereka tidak menggunakan wang tersebut untuk membeli buku,
setidak-tidaknya wang tersebut tidak diambil pihak lain.
Lintah darat ini tidak peduli akan halal haram sesuatu perbuatan. Apa
yang lebih penting adalah mengaut keuntungan. Asal saja mereka
berkesempatan, mereka melakukannya. Semoga mendapat perhatian pihak
Kementerian Pengajian Tinggi.
~Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.