PEKAN, 13 Jan:
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob diminta
campur tangan agar kemelut dan permasalahan bekalan air di Universiti
Malaysia Pahang (UMP) Kampus Pekan dapat diselesaikan dengan segera.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMP, Muhamad Fazli Abdul
Halim membuat gesaan itu sekiranya pihak Jabatan Bekalan Air (JBA)
Pahang gagal mengatasi permasalahan tersebut.
Menurutnya, maklum balas yang diterima daripada pihak JBA Pahang
rentetan isu krisis ganguan air antara lain menyatakan bahawa masalah
bekalan air yang tidak stabil itu akan berpanjangan sehinggalah suatu
sistem bekalan air yang sempurna disiapkan untuk kampus berkenaan.
Katanya, pihak JBA juga menyatakan bagi mengatasi masalah tekanan air
rendah adalah dengan menyalurkan bekalan air secara terus ke kampus
dari Loji Air Peramu dan menjangkakan kerja-kerja pemasangan paip itu
siap akhir tahun 2012.
Justeru, katanya berdasarkan maklum balas yang diterima itu krisis
gangguan air akan berterusan dalam satu tempoh jangka masa yang panjang.
“Pihak kami mendesak dan menggesa agar projek pembinaan bekalan air
secara terus dari Loji Air Peramu ke Kampus UMP Pekan tersebut
dipercepatkan bagi menyelesaikan kemelut yang dialami,” katanya.
Menurutnya, usaha yang dijalankan oleh pihak pengurusan universiti
dalam menangani krisis itu sewajarnya diberikan pujian seperti
menggunakan khidmat lori tangki air bagi penghantaran air ke kampus
sebagai satu langkah sementara dalam meredakan permasalahan itu.
Namun, kata beliau sewajarnya hal tersebut dimainkan secara serius
oleh pihak JBA Pahang yang berfungsi dan dipertanggungjawabkan dalam
menyediakan kemudahan dan perkhidmatan tersebut.
“Pihak kami bimbang krisis ini akan bertambah serius apabila beberapa
bangunan baru seperti perpustakaan, pusat aktiviti pelajar dan
bangunan Fakulti Pembuatan yang dijangka beroperasi secara penuh pada
awal semesta hadapan yang secara umumnya akan menyebabkan tekanan air
menjadi lebih rendah,” ujarnya.
Menurutnya lagi, melihat kepada keadaan semasa yang mana kebanyakan
kelewatan projek berlaku dalam proses pembangunan kampus Pekan, pihaknya
kurang berkeyakinan projek tersebut akan disiapkan dalam tempoh jangka
masa yang ditetapkan.
Oleh hal sedemikian, ujarnya pelbagai pihak yang akan terjejas akibat
permasalahan tersebut seperti mahasiswa, pensyarah, pengusaha kafeteria
dan pengurusan universiti sendiri.
Katanya, krisis gangguan air itu bukan hanya menjejaskan warga UMP Pekan tetapi turut menjejaskan masyarakat sekitar kampus.
Untuk makluman, ujarnya UMP Pekan serta masyarakat sekitar berkongsi
sumber air yang sama iaitu sumber air daripada Loji Air Kuala Pahang.
Tambahnya, apabila terdapat banyak aduan yang diterima akibat
gangguan air di UMP, maka air akan disalurkan lebih ke UMP yang dalam
masa yang sama masyarakat sekitar pula akan mengalami gangguan,
begitulah yang berlaku seterusnya.
“Oleh hal sedemikian pihak kami menuntut pihak yang bertanggungjawab
dalam menangani krisis ini mengambil tindakan yang sewajarnya agar
kemelut ini akan dapat diselesaikan dengan segera.
“Pihak kami mengharapkan pihak JBAPahang bersedia menjawab
permasalahan ini secara terbuka agar segala keraguan dapat diatasi
dengan segera,” ujarnya.
~ Harakah Online
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.