Tanjong Malim, 9 Jan :
Penantian seluruh mahasiswa dan rakyat
Malaysia untuk mengetahui nasib seorang siswa UPSI, Adam Adli yang
dibicarakan di UPSI petang ini akhirnya terjawab kira-kira 5 petang
tadi.
Setelah hampir 1 jam dibicarakan di hadapan sepuluh barisan tindakan
tatatertib UPSI, penantian hampir 200 mahasiswa yang setia menunggu di
luar pintu masuk UPSI terpaksa menelan pahit apabila mendengar keputusan
kes berkenaan.
Barisan tindakan tatatertib UPSI yang diketuai Timbalan Naib Canselor
Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar, termasuk
Prof. Datuk Dr. Zainal Kling dan beberapa lagi wakil pengawal
keselamatan serta pensyarah telah membuat keputusan untuk menggantung
pengajian Adam selama tiga semester berkuat kuasa semester hadapan.
UPSI bertukar menjadi ‘Ibu Pejabat Polis’
Sementara itu, tinjauan mendapati kira-kira tujuh buah trak dan
‘Black Maria’ telah ditempatkan sekitar UPSI dan hampir 200 anggota
polis telah dikerahkan untuk mengawal keselamatan universiti.
Diberitakan juga, sejak tengah hari hari ini, berlaku kesesakan teruk
di beberapa jalan utama UPSI dan pemeriksaan ketat juga dilakukan bagi
mengelakkan insiden 1 Januari 2012 berulang pada tarikh 9 Januari 2012.
Situasi itu menyebabkan segelintir mahasiswa USPI yang sedang
menghadapi musim peperiksaan terpaksa tiba lewat di dewan peperiksaan
kerana menempuh perjalanan ‘yang perit’ sebelum tiba ke destinasi.
Antara yang hadir memberi sokongan termasuk Pengerusi BEBAS, Muhammad Safwan Anang dan wakil SMM.
Keputusan sudah dijangka
Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Mohd
Taufiq Abdul dalam kenyataannya menjelaskan keputusan pergantungan yang
terpaksa dihadapi Adam, 22, sudah dijangkakan.
“Setelah hari ini negara dan dunia dikejutkan dengan berita
pembebasan Datuk Seri Anwar daripada pertuduhan liwat, saya sendiri
sudah jangka pihak tertentu tidak akan memberi kemenangan 2-0 kepada
rakyat.
“Jadi, mereka boleh bergembira kerana kedudukan hari ini 9 Januari
2012 adalah seri iaitu 1-1. Namun, kita tidak akan duduk diam dalam kes
ini.
“Sudah jelas UPSI masih tidak bersedia untuk meminda atau mansuhkan
AUKU dan walaupun pihak mereka menyatakan tiada campur tangan luar, saya
ingin persoalkan tentang kelibat ratusan anggota polis di UPSI hari
ini.
Wakil Solidariti Mahasiswa Malaysia, Shukri Kamaruddin pula
menegaskan mahasiswa akan bertindak memfailkan kes pergantungan
berkenaan di mahkamah tinggi kerana tidak berpuas hati dengan dua
pertuduhan yang dikenakan.
Adam Adli ketika ini sedang menduduki peperiksaan akhir semester kelima dan masih berbaki satu semester untuk dihabiskan.
Manakala dua pertuduhan yang dikenakan adalah mencemarkan nama baik universiti dan mengancam keselamatan awam.
– GZDaily
No comments:
Post a Comment
Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.