Mohon klik iklan 1X yer

27 September 2011

Jodoh Kerang

Oleh - Abdul Ghalib Yunus, Munsyi Dewan


Soalan:
Apakah penjodoh bilangan yang sesuai untuk kerang? Seketul kerang, sebiji kerang atau seekor kerang? Terima kasih.
Daripada:Leen


Jawaban:
Setiap benda yang konkrit dalam bahasa Melayu lazimnya mempunyai penjodoh bilangan. Begitu jugalah halnya dengan `kerang’. Untuk menggunakan atau meletakkan penjodoh bilangan pada sesuatu perkataan, beberapa perkara perlu diambil kira. Pertama, kita mestilah megambil kira bentuk dan keadaan benda tersebut semasa kita memperkatakannya. Sebagai contohnya, jika `kerang’ itu berbentuk seperti ketulan dan tidak bergerak, kita boleh meletakkan penjodoh bilangan `ketul’, iaitu `seketul kerang’. Jika ukuran `kerang’ tersebut sebesar guli, kita boleh menggunakan penjodoh bilangan `biji’, iaitu sebiji kerang. Jika kita melihat kerang itu bergerak-gerak di dalam laut, kita boleh menggunakan penjodoh bilangan `ekor’, iaitu `seekor kerang’.
Jika `kerang’ tersebut melekat-lekat antara satu dengan yang lain dalam bentuk `gugus’, maka penjodoh bilangan yang boleh kita gunakan ialah `segugus kerang’. Namun demikian, dalam kehidupan seharian, kita sering menggunakan penjodoh bilangan `mangkuk’ jika kerang itu diletakkan di dalam mangkuk seperti `semangkuk kerang’. Jika `kerang’ tersebut diletakkan di dalam pinggan, kita akan menggunakan penjodoh bilangan `pinggan’, iaitu `sepinggan kerang’. Dari segi berat pula, kita akan menggunakan penjodoh bilangan `kilogram’ seperti `dua kilogram kerang’.
Kesimpulannya, perkataan `kerang’ mempunyai penjodoh bilangannya. Namun demikian, kita tidak boleh membuat ketetapan khas tentang penjodoh bilangan bagi `kerang’. Hal ini dikatakan demikian kerana penjodoh bilangan untuk `kerang’ ada pelbagai. Penjodoh bilangan yang sesuai untuk kerang bergantung pada keadaan bentuk `kerang’ atau keberadaan kerang seperti di dalam mangkuk, di dalam laut atau untuk timbangan atau sukatan. Penggunaan perkataan `semangkuk’, `sepinggan’, `sekilogram’, dan sebagainya lebih kepada sukatan, bukan penjodoh bilangan tetapi boleh berfungsi sebagai penjodoh bilangan.

No comments:

Post a Comment

Boleh komen apa saja aseikan tidak melanggor undang2 syarak, undang2 negara dan undang2 skmm. Komen yang tidak berakhlak akan dipadam.